ARRC 2024: DUA Kali Lagu Negaraku Dimainkan Di Mandalika, Insiden Pusingan Akhir Ranap Peluang Azroy, Hafizh
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/28/20241 min read
DUA kemenangan berjaya diraih pelumba negara pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Mandalika, Indonesia, hari ini menerusi kejayaan diraih Md Akid Aziz dan Ramdan Rosli.
Selepas tiga kali bergelar naib juara dalam enam perlumbaan sebelum ini termasuk Perlumbaan 1, Ramdan akhirnya berjaya menaiki podium kelas 'One Make Race' TV Asia sebagai juara.
Kemenangan turut meranapkan deretan kemenangan berturut-turut pendahulu kejuaraan, Hiroki Ono dari Jepun musim ini dengan pelumba India, Sarthak Chavan melengkapkan podium.
Dalam pada itu, pelumba berpengalaman negara Akid berjaya memenangi perlumbaan kelas 'kapcai' UB150 dalam aksi penuh menghiburkan di Mandalika.
Tidak berada dalam kedudukan 10 terbaik pada pusingan terakhir, Akid dari pasukan PitsBike OneWay JRT Tech2 Racing membuktikan kemampuannya dengan menjuarai perlumbaan dengan kelebihan 0.015 saat di depan naib juara.
Tempat kedua itu menjadi milik pelumba tuan rumah, Husni Zainul Fuadzy yang beraksi menggunakan tiket 'Wildcard' manakala seorang lagi pelumba tuan rumah, Murobbil Vittoni melengkapkan podium.
Sementara itu, peluang pelumba negara untuk menambah gelaran juara tidak kesampaian dalam kelas elit ASB1000 susulan insiden pusingan akhir yang menimpa Hafizh Syahrin Abdullah.
Bersaing sengit dalam perebutan di podium sebagai juara dengan pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto, Hafizh begitupun diganggu 'back marker' atau pelumba yang sudah dipintas sepusingan yang menyaksikan laluan perlumbaan pelumba berpengalaman itu terganggu.
Lebih mengecewakan, pelumba pasukan JDT Racing Team itu sememangnya dilihat berpotensi untuk mencabar kedudukan sebagai pemenang ketika itu.
Perlumbaan 2 ASB1000 dimenangi Minamimoto diikuti Hafizh dan pelumba tuan rumah, Andi Farid Izdihar ketiga.
Dalam kelas SS600, peluang Azroy Hakeem Anuar untuk mengulangi kemenangan yang dirangkul pada Perlumbaan 1, semalam tidak kesampaian apabila dia terjatuh pada pusingan terakhir.
Lebih mengecewakan, Azroy ketika itu berada dalam kelompok podium selepas sekian lama memimpin perlumbaan sebelum insiden bersama pelumba Thailand, Thanat Laoongplio meranapkan impiannya.
Kemalangan menyaksikan Azroy dari pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-7 dengan pelumba tuan rumah, Md Adenanta Putra menjuarai perlumbaan.
Sementara itu, tiada pelumba negara berdiri di podium kelas AP250 dengan keputusan terbaik diraih adalah menerusi Md Syarifuddin Azman di tempat ke-11.