ARRC 2024: Hafizh Syahrin, JDT Racing Lakar Sejarah Menang Di Zhuhai

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/20/20241 min read

HAFIZH Syahrin Abdullah dan JDT Racing Team mencipta sejarah membanggakan di Zhuhai, China apabila memenangi Perlumbaan 1 kelas elit ASB1000 Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024, hari ini.

Lebih mengujakan, ia adalah kemenangan pertama pasukan itu yang memulakan kempen di ARRC pada musim ini selepas meraih kedudukan podium pada Pusingan 1 di Thailand pada bulan lalu.

Memulakan perlumbaan di petak utama, Hafizh yang menunggang jentera Ducati Panigale V4R sememangnya sukar dikekang apabila memimpin perlumbaan dari awal hingga akhir dan melepasi garisan penamat dnegan catatan 20 minit 24:461 saat.

Pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar dari Indonesia menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.

Dan seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan TKKR BMW Racing melengkapkan kedudukan podium.

"Perlumbaan hari ini amat sukar, terutama pada beberapa selekoh terakhir apabila tayar saya mula kurang stabil. Saya perlu bekerja keras dan fokus untuk mengekalkan kawalan.

"Saya mahu berterima kasih kepada pasukan saya terutama bos saya Tunku Mahkota Ismail atas kerja keras dan sokongan mereka. Saya juga dedikasikan kemenangan ini kepada anak saya.

"Esok kami akan berusaha untuk meraih lebih kestabilan dan mendapatkan prestasi lebih baik," kata pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu.

Kemenangan melonjakkan Hafizh ke tangga ke-3 keseluruhan kedudukan carta pelumba selepas mengumpul keseluruhan 45 mata daripada tiga perlumbaan.

Kedudukan teratas masih dipegang Andi dengan mengumpul 65 mata diikuti Azlan 52 mata.