ARRC 2024: Helmi Azman Harap Momentum Di Zhuhai Tahun Lalu Dikekalkan!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/18/20241 min read

PELUMBA negara, Helmi Azman berharap momentum baik yang diperoleh pada penampilannya di Zhuhai, China dalam kelas SS600 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tahun lalu dapat diteruskan musim ini.

Tiba di Zhuhai dengan memori baik selepas merangkul dua podium (ke-2 dan 3) pada kedua-dua perlumbaan musim lalu, pelumba pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing itu begitupun meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu mendapatkan kemenangan pada aksi kali ini.

Dan ia sememangnya bukan sesuatu yang mustahil sekalipun pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu mengakui cabaran yang dihadapinya cukup sukar.

"Saya gemar berlumba di Zhuhai," kata Helmi yang ketika ini menghuni tangga ke-4 keseluruhan kelas SS600. "Musim lalu, saya menamatkan perlumbaan di litar ini dengan baik dan saya berharap saya dapat kembali meraih momentum yang sama.

"Saya mahu mendapatkan kemenangan, jadi saya perlu mencari jalan bagaimana untuk mengulangi pencapaian saya di sana.

"Pasukan sudah bekerja keras untuk pusingan ini dan kami akan terus berusaha untuk sasaran yang kami letakkan, iaitu meletakkan saya di depan dan mendapatkan mata setinggi mungkin."

Mengulas mengenai insiden ngeri yang dihadapinya pada Perlumbaan 2 di Thailand, Helmi berkata ia memang mengecewakan namun situasi berkenaan turut menguatkan semangatnya untuk memburu kejayaan sekalipun sukar.

Dan pelumba berpengalaman besar Thailand, Apiwath Wongthananon yang memenangi kedua-dua perlumbaan di Buriram sekali lagi bakal menjadi pencabar terbesarnya termasuk di Zhuhai.

"Syukur yang prestasi jentera pada musim ini berterusan meningkat. Ada lebihan kuasa ketika pecutan yang memberikan kelebihan tambahan kepada kami, membantu kami untuk bersaing secara kompetitif.

Selain Helmi, turut beraksi dalam kelas SS600 adalah seorang lagi pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar yang memperoleh pengalaman mengecewakan di Buriram apabila tak berjaya menamatkan aksi dalam kedua-dua perlumbaan.