ARRC 2024: Helmi Azman Podium Perlumbaan 1 SS600, 'Otai' Thailand, Wongthananon Juara Di Buriram
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/16/20241 min read
PELUMBA negara, Md Helmi Azman terpaksa berpuas hati menamatkan Perlumbaan 1 SS600 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Buriram, hari ini yang dimenangi pelumba 'otai' tuan rumah, Apiwath Wongthananon.
Bermula di petak ketiga, Wongthananon yang melabel dirinya sebagai 'Raja Litar Buriram' dengan pantas meletakkan dirinya di depan seawal selekoh pertama.
Dan kelebihan sebagai pendahulu diteruskan Wongthananon dari pasukan Yamaha Tekhne Racing Team Asia sehingga penghujung perlumbaan sekalipun pada satu ketika disaing sengit Helmi dan seorang lagi pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Boon Siew Team Honda Racing.
Begitupun, nasib Azroy tidak begitu baik apabila terjatuh selepas jenteranya Honda CBR600RR bergesel dengan Wahyu Nugroho (Yamaha Racing Indonesia) dan terjatuh ketika perlumbaan berbaki lapan pusingan.
Di penghujung perlumbaan, Helmi tampak seperti mengendurkan tekanan kepada Wongthananon untuk melepasi garisan penamat 2.521 saat selepas pelumba Yamaha itu mengesahkan kemenangan.
Sebagai info, Wongthananon, 30 yang memiliki pengalaman luas dan pernah beraksi dalam kelas turut menjuarai perlumbaan SS600 terakhir di Buriram musim lalu yang membantu rakan sepasukannya, Soichiro Minamimoto muncul juara keseluruhan.
Kedudukan terakhir podium menjadi buruan lima pelumba di belakang Helmi sebelum ia menjadi milik pelumba Astra Honda Racing, Md Adenanta Putra.
Perlumbaan 2 SS600 dijadual pada 3.55 petang esok (waktu Malaysia).