ARRC 2024: Helmi Teruja Bawa Pengalaman Di Suzuka Ke Mandalika
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/24/20241 min read


PELUMBA negara, Helmi Azman menjelaskan teruja dengan penampilannya di perlumbaan 'Enduran' Suzuka 8 Hours (S8H) 2024 di Jepun, minggu lalu dan pengalaman itu diharap dapat dimanfaatkan di Mandalika.
Selepas S8H melabuhkan tirainya, beberapa pelumba pantas pulang ke tanah air termasuk Helmi berikutan jadual padat dengan Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 akan berlangsung di Indonesia, hujung minggu ini.
Beraksi dalam kelas SS600 bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing, Helmi ketika ini menghuni tangga ketiga keseluruhan selepas mengumpul 60 mata.
"Saya mendapat latihan tambahan di luar negara kerana saya berlumba di Suzuka 8 hours. Jadi ia adalah perlumbaan berturut-turut untuk saya mengikuti Pusingan 4 ARRC," kata pelumba kelahiran Selangor itu.
"Sudah tentu ia tempoh yang memenatkan tetapi saya agak teruja dengan peluang yang diberikan dan bersama dengan tekanan, ia akan memberikan lebih manfaat.
"Saya menggemari litar Mandalika. Ia adalah salah satu litar kegemaran saya. Musim lepas saya bermula di petak utama dan menang jadi saya berharap untuk melakukannya juga pada tahun ini dan cuba meraih kemenangan untuk diri saya dan pasukan.
"Saya masih positif dalam pemburuan kejuaraan keseluruhan. Ketika ini, seluruh tumpuan akan diberikan kepada kedudukan tiga terbaik.
"Ada banyak kerja yang perlu dibuat untuk meraih sebanyak mungkin mata yang boleh tetapi saya juga akan cuba untuk kekal berada dalam prestasi terbaik saya."
Mengulas mengenai jenteranya, Helmi mengakui dia semakin berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan Honda CBR600RR.
"Musim ini kami mendapat beberapa perkakasan terbaharu tetapi sudah tentu, ia memerlukan pelarasan yang betul untuk kami dapat mengoptimakan prestasinya.
"Secara keseluruhan, pengendalian bagus dan saya berupaya untuk menguruskan jentera ini dengan baik setakat ini," katanya.
Selepas 3 pusingan berlangsung, pelumba berpengalaman Thailand, Apiwath Wongthananon daripada pasukan Yamaha Tekhne Racing Asian memimpin carta kejuaraan selepas mengumpul 115 mata.
