ARRC 2024: Kedudukan 1,2 Milik Malaysia Perlumbaan 2 UB150 Di Buriram, Afif Amran Paling Cemerlang!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/17/20241 min read

KEMENANGAN 1,2 berjaya ditakluk pelumba Malaysia pada Perlumbaan 2 kelas UB150 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Buriram, Thailand yang dipacu kemenangan Ahmad Afif Amran, hari ini.

Dalam perlumbaan menggunakan jentera 'Cub' dan diketahui cukup kompetitif, Afif dari pasukan PitsBike OneWay JRT Tech2 Racing Team tampil dengan prestasi terbaik untuk menyelit di saat akhir untuk melepasi garisan penamat sebagai juara.

Turut cemerlang adalah juara keseluruhan musim lalu, Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team yang hanya dibezakan 0.194 saat dengan Afif.

Dan pelumba Indonesia, Murobbil Vittoni (Yamaha LNF HP969) melengkapkan kedudukan podium.

"Terima kasih kepada pasukan kerana kerja keras mereka dapat menyediakan jentera yang baik pada hari ini," kata Afif yang menamatkan Perlumbaan 1 semalam di tangga ke-13.

"Minggu ini amat mencabar sejak hari pertama di mana kami bergelut untuk mendapatkan pelarasan terbaik untuk pasukan. Keadaan cuaca juga baik dan Alhamdulillah kami berjaya menang.

"Apapun kami perlu fokus kepada perlumbaan seterusnya," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Malaysia berpeluang untuk menyapu bersih kedudukan podium UB150 selepas rakan sepasukan Afif, Md Akid Aziz menamaykan perlumbaan di kedudukan ke-4 dan dibezakan 0.015 saat di belakang Murobbil.

Perlumbaan Pusingan 2 ARRC 2024 dijadual berlangsung di China, (Litar Antarabangsa Zhuhai) pada 19 – 21 April depan.