ARRC 2024: Kemenangan Di Zhuhai Pulih 'Semangat' Azroy Hadapi Motegi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/5/20242 min read

AZROY Hakeem Anuar tidak menafikan ada sesuatu membelenggunya berikutan pengalaman 'pahit' yang diperoleh pada kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) kelas SS600 musim lalu.

Beraksi bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing, Azroy pada musim lalu menamatkan empat perlumbaan dengan status DNF yang menyaksikannya menamatkan saingan di kedudukan ke-6 keseluruhan.

Episod malang itu tampak berterusan musim ini apabila pelumba kelahiran Selangor itu tak berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan di Pusingan 1 di Thailand termasuk mengalami kemalangan ngeri di Perlumbaan 2.

Begitupun, kemenangan di Zhuhai pada Pusingan 2 berjaya memulihkan sedikit semangatnya dan keputusan positif itu mahu dibawa ke Jepun pada aksi Pusingan 3, hujung minggu ini.

"Untuk jangka masa yang lama, saya mengalami perasaan bimbang terhadap prestasi saya disebabkan oleh pengalaman yang saya hadapi pada musim lalu," kata Azroy.

"Ia sesuatu yang agak memberi tekanan kepada saya terutama dengan beberapa status 'DNF' yang saya peroleh sepanjang tahun. Ia ditambah dengan dua kemalangan yang berlaku pada perlumbaan pembuka musim tahun ini.

"Tetapi saya kini sudah mula untuk mengatasi tekanan itu dan saya mula merasa lebih baik ketika ini terutama dengan kemenangan yang saya raih pada Perlumbaan 1 di Zhuhai.

"Sudah tentu, ia tidak mudah seperti dilihat tetapi ia sejujur-jujurnya ia memberikan saya semangat yang diperlukan. Saya kini lebih optimistik," kata Azroy.

Mengulas aksi Pusingan 3 ARRC 2024 di Motegi, Jepun, gelanggang yang boleh dikatakan baru kepada ramai pelumba termasuknya, Azroy berkata sasarannya adalah untuk menyesuaikan diri dengan cepat dan cuba untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata.

"Perlumbaan di Motegi pasti mencabar terutama ia adalah litar yang baru untuk kebanyakan pelumba," kata Azroy.

"Untuk saya, saya cuba untuk mempelajari litar ini secepat yang mungkin. Sejurus saya mula menyesuaikan diri, lebih mudah untuk kami melaksanakan perancangan kami.

"Sasarannya adalah untuk memastikan yang saya berjaya untuk meraih sebanyak mata yang mungkin. Masih terlalu awal untuk mengenal pasti siapa yang akan berada di depan kerana semua pelumba yang bersaing memiliki pengalaman yang baik dan berkualiti."

Ketika ini, Azroy menghuni tangga ke-8 carta kedudukan pelumba SS600 selepas mengumpul keseluruhan 25 mata. Pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon memimpin carta dengan keseluruhan 70 mata.

Sebagai info, tiada Perlumbaan 2 di Zhuhai berikutan cuaca buruk di litar.