ARRC 2024: Pengalaman Di MotoGP, WorldSBK Bukan Tiket Untuk Dabik Dada - Hafizh Syahrin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/15/20241 min read

HAFIZH Syahrin Abdullah tiba di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 sebagai bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK namun status tinggi berkenaan dilihatnya bukan tiket untuk mendabik dada.

Beraksi dalam kelas elit ASB1000, Hafizh yang berlumba bersama pasukan JDT Racing Team dikatakan berpotensi menjadi antara pencabar kejuaraan terutama bergandingan dengan jentera Ducati Panigale V4R.

Tetapi bagi pelumba berusia 29 tahun itu, pengalaman yang dimilikinya tidak perlu terlalu dibanggakan kerana sedar pencabarnya di kejuaraan berkenaan turut memiliki pengalaman tinggi termasuk di peringkat dunia.

"Dengan pengalaman yang saya ada (MotoGP, WorldSBK), kami masih perlu belajar. Kami akan cuba menggunakan pengalaman yang saya ada dan lihat di mana kedudukan kami," kata Hafizh yang meninggalkan pasukan Petronas MIE Racing Honda dalam kempen WorldSBK musim lalu.

Hafizh dan pasukannya begitupun dipalit malang apabila menjadi antara pasukan yang terlepas sesi penting berkenaan susulan kegagalan kelengkapan pasukan itu termasuk jentera tiba tepat pada masanya.

Mengakui situasi berkenaan sebagai mengecewakan, Hafizh begitupun menegaskan pasukannya tetap bermotivasi tinggi dengan ujian persendirian di Sepang, bulan lalu memberikan bantuan.

"Kami sudah menguji jentera pada Februari lalu dan apa yang boleh saya katakan ia tidaklah terlalu memberi kesukaran," kata Hafizh mengulas situasi berkenaan.

"Apapun kami sebagai pasukan tetap positif dan tak sabar untuk beraksi. Ketika ini, apa saya boleh katakan adalah saya gembira untuk kembali menunggang dan tidak sabar untuk mengharungi sesi latihan bebas pertama."

Hafizh dalam pada itu menjelaskan antara perbezaan utama ujian di Sepang dan Buriram adalah membabitkan 'Compound' tayar yang digunakan kerana perlumbaan ARRC menggunakan tayar jenama Dunlop.

"Saya perlu berterima kasih kepada mekanik yang bekerja sekeras mungkin untuk menyediakan jentera sejak 4 pagi (Khamis)," katanya.