ARRC 2024: Perlumbaan 1 Sukar Buat Pelumba Negara Di Motegi, Hafizh, Nazirul, Fazrul Podium

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/8/20241 min read

TIADA kemenangan berjaya dirangkul barisan pelumba negara pada Perlumbaan 1 Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Motegi, Jepun, hari ini.

Lebih mengecewakan, tiada kedudukan podium dapat dirangkul pelumba negara dalam dua kelas perlumbaan - SS600 dan ASB250 - ketika ARRC buat pertama kali berlangsung di Motegi.

Dalam kelas elit ASB1000, pelumba negara yang beraksi bersama pasukan JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya memberikan persaingan cukup sengit bagi pemburuan kemenangan sebelum terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Kemenangan menjadi milik pelumba tuan rumah yang beraksi bersama pauskan TKKR BMW Racing, Sho Nishimura dengan naib juara menjadi milik pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat (Honda Asia-Dream Racing with Astemo).

Sementara itu, perlumbaan kelas SS600 dimenangi pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon (Yamaha TEKHNE Racing Team Asia) diikuti pelumba tuan rumah, Kengo Nagao (Team KenKen) dan pelumba Indonesia, Md Adenanta Putra (Astra Honda Racing) ketiga.

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan IDEMITSU Boon Siew Honda Racing menjadi pelumba terbaik negara dalam kelas berkenaan dengan menamatkan aksi di kedudukan kelima.

Situasi sama berlaku pada kelas AP250 dengan tiada pelumba negara di podium dalam aksi yang dimonopoli pelumba Indonesia menerusi kemenangan Muhammad Kiandra Ramadhip (Astra Honda Racing).

Tempat kedua menjadi rakan sepasukan Kiandra, Herjun Atna Firdaus dan Arai Agaska Dibani Laksana (Yamaha Racing Indonesia) ketiga dengan Damok atau nama sebenarnya Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Boon Siew Honda Racing) menjadi pelumba terbaik negara di tangga kelima.

Prestasi lebih baik ditampilkan pelumba negara dalam kelas kapcai UB150 apabila dua kedudukan di podium berjaya diisi di Motegi.

Penyandang juara kelas berkenaan, Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team berjaya muncul naib juara dengan pelumba veteran, Ahmad Fazrul Sham (Cardinals Factory Racing ARRC) ketiga.

Kemenangan UB150 menjadi milik Gupita Kresna Wardhna dari Indonesia yang beraksi bersama pasukan 4S1M Evo Yamaha Racing Team.

Sementara itu, pelumba dalam kelas 'One Make' TVS Asia turut menyaksikan ada wakil negara di pentas podium menerusi Md Ramdan Rosli yang menamatkan aksi di kedudukan ke-3.

Kemenangan menjadi milik pelumba tuan rumah, Hiroki Ono dan Zen Mitani kedua.

Perlumbaan 2 dijadual berlangsung pada Ahad.