ARRC 2024: Tanpa KIP, Azroy, Helmi Sedia Kibar Cabaran Malaysia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/14/20241 min read

TANPA kelibat Khairul Idham Pawi atau KIP, cabaran Malaysia dalam kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) kelas SS600 musim ini akan digalas dua pelumba Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman.

Seperti diketahui, KIP pada musim ini 'naik pangkat' beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas WordSSP bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda.

Begitupun, penampilan dua bekas rakan sepasukannya di Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team, Azroy dan Helmi diharapkan mampu memberi menghadiahkan kejuaraan kepada Malaysia sekalipun dijangka memperoleh cabaran sengit.

Tahun ini, antara cabaran sengit yang bakal dihadapi Azroy dan Helmi adalah pelumba berpengalaman Thailand, Apiwath Wongthananon yang beraksi secara sepenuh musim.

Kepada yang mengikuti ARRC, Apiwath boleh dikatakan menjadi antara 'kunci' kepada pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto untuk meraih kejuaraan keseluruhan kelas berkenaan musim lepas.

Minaminoto begitupun tidak beraksi dalam kelas SS600 dan beraksi dalam kelas perdana ASB1000 musim ini.

"Tahun lalu, saya sudah berada di sini, kekal di kedudukan tiga teratas sepanjang kejuaraan tetapi malangnya pada pusingan terakhir di Buriram, saya bergelut dengan jentera dan tidak mampu meraih keputusan lebih baik," kata Helmi.

"Musim ini pasti lebih mencabar kerana akan ada ramai pelumba berpengalaman selain muka baru.

"Memang jelas yang Apiwath akan menjadi pencabar terkuat kerana dia sudah pun meraih pengalaman di WorldSSP. Malah dia juga pernah beraksi di ASB1000 jadi ia pasti saingan yang amat sengit," katanya.

Azroy dalam pada itu mengakui kempen musim lalu memberikan pengalaman agak perit buatnya terutama membabitkan tuah selepas jenteranya sering berdepan masalah.

"Oleh itu, musim ini seperti medan membalas dendam. Saya kini berada dalam keadaan lebih baik dari sudut mental dan emosi dan saya bersedia untuk melakukan lebih baik berbanding musim lalu," kata Azroy yang berkata fokusnya ketika ini adalah menjalani latihan fizikal setiap hari.

Untuk musim ini, Azroy dan Helmi akan menunggang jentera Honda CBR600RR spesifikasi yang sama seperti musim lalu dengan situasi berkenaan turut dijangka memberi sedikit kelebihan.