ARRC 2024: Tiada Alasan, Azlan Tetap Sasar Podium Di Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/14/20241 min read

TIBA di Thailand dengan kemelut yang dihadapi pasukannya TKKR Racing Team nyata tidak merobek semangat Azlan Shah Kamaruzaman untuk melakar sesuatu yang membanggakan di Buriram.

Seperti yang didedahkan sendiri pengurusan pasukan, TKKR Racing Team mengharungi musim yang sukar di pentas Asia berikutan ketiadaan penaja utama.

Dan kehadiran mereka di Thailand bagi kempen pembuka tirai dikatakan hasil daripada jualan motosikal, barangan cenderahati serta sumbangan peminat.

Begitupun kata Azlan yang juga bekas pelumba Moto2 negara dan bekas juara Asia, sasarannya sebagai pelumba tetap sama dan tidak berubah iaitu berdiri di podium.

Kata-kata bersemangat itu dikongsikan Azlan ketika sesi 'live' pasukan itu bersama peminat selepas tiba di Buriram.

Sekalipun dikatakan berdepan masalah kewangan dan hanya mempunyai dana untuk beraksi di Pusingan 1, pasukan itu kekal mempertaruhkan penyandang juara ASB1000 musim lalu, Markus Reiterberger selain Azlan pada aksi kali ini.

Menariknya, Azlan turut merakam masa terpantas sesi ujian pertama pada sesi ujian rasmi ASB1000, semalam sebelum menamatkan ujian di tangga ketiga terpantas keseluruhan.

Begitupun, catatan lebih baik tidak mampu dilakukan Reiterberger dari Jerman susulan masalah mekanikal jenteranya.

Sebagai info, pasukan TKKR Racing Team akan beraksi dengan nama TKKR BMW Racing Team dan menggunakan jentera BMW M1000RR spesifikasi 2023 yang berjaya membawa pasukan itu menjulang gelaran keseluruhan musim lalu.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dikongsikan juga, pasukan itu mengesahkan tidak memperoleh sokongan daripada Alpha Racing musim ini manakala penampilan Reiterberger bukan secara sepenuh musim kerana terikat dengan komitmen perlumbaan lain.

Malah pasukan itu turut mendakwa belum memberi komitmen untuk beraksi secara sepenuh musim berikutan masalah yang dihadapi.