ARRC: Hafizh Syahrin Harap Peminat Datang Ke Sepang Sorak Pelumba Malaysia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/28/20251 min read

PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abadullah berharap peminat sukan permotoran untuk memenuhkan kerusi di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS bagi memberikan sokongan penuh bukan hanya kepadanya, tetapi juga kepada semua pelumba Malaysia yang beraksi di pusingan ke-2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025, hujung minggu ini.

Bekas pelumba WorldSBK dan MotoGP itu berkata, sokongan peminat mampu menjadi pendorong utama dengan kehadiran mereka mampu meningkatkan prestasi seseorang pelumba.

"Sudah tentu berlumba di tempat sendiri memberikan kamu motivasi. Kami mengetahui litar dengan amat baik dan apabila peminat-peminat bersorak, ia memberikan kamu motivasi tambahan," kata Hafizh.

"Suasananya menakjubkan, dan saya tidak sabar untuk merasainya sekali lagi. Ia meningkatkan keseluruhan prestasi.

"Saya benar-benar menggalakkan semua orang untuk datang dan menyokong bukan saya saja, tetapi semua pelumba-pelumba Malaysia. Kami akan memberikan segala-galanya," katanya yang menamakan seorang lagi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi dan pelumba Thailand, Nakarin sebagai pencabar utamanya.

Hafizh berkata, pengalaman dan data yang dikumpul pada musim lalu membuatkannya tampil lebih yakinterutama memperbaiki kesilapan pada penampilannya kali ini.

Tahun lalu, Hafizh berjaya memperoleh petak utama tetapi kecemerlangan itu tidak dapat diterusnya apabila dia dan jentera Ducati Panigale V4R melepasi garisan penamat Perlumbaan 2 di tempat ke-3 dan ke-5 pada Perlumbaan 2.

"Saya bermula dari petak utama tahun lalu, tetapi kami lakukan beberapa kesilapan dari segi pelarasan jentera yang menjejaskan prestasi ketika perlumbaan," kata pelumba kelahiran Ampang itu.

"Kali ini kami lebih bijak. Kami memiliki data, kami mempunyai pengalaman dan kami akan bekerja keras sejak sesi latihan bebas pertama (FP1) untuk memastikan kami memulakan hujung minggu dengan perasaan dan kelajuan yang baik. Sasarannya adalah bersaing di kelompok depan."

Hafizh dalam pada itu mengakui pusingan pembukaan di Buriram, Thailand pada bulan lalu tidak begitu menjadi selepas dia menamatkan Perlumbaan Pertama di tempat ketiga dan Perlumbaan Kedua di tempat kelima.