ARRC: Zaqhwan Zaidi, Helmi Azman Naik Podium Perlumbaan 1 Di Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/7/20242 min read

TIADA kemenangan berjaya diraih pelumba negara pada Perlumbaan 1 pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Buriram, Thailand yang menyaksikan penguasaan pelumba Indonesia dan tuan rumah.

Dalam kelas elit ASB1000, pelumba Indonesia Andi Farid Izdihar dari pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo menjuarai perlumbaan sekaligus merampas kedudukan pendahulu daripada pelumba Jepun, Yuki Kunii.

Begitupun, pelumba negara Zaqhwan Zaidi turut cemerlang berkongsi podium bersama rakan sepasukannya itu selepas menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.

Kunii dari pasukan SDG Team HARC-PRO Honda Ph. melengkapkan kedudukan podium.

Seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan JDT Racing Team yang turut bersaing merebut gelaran keseluruhan terpaksa menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-5.

Keputusan itu menyaksikan Hafizh kini ketinggalan 17 mata daripada pendahulu berbanding 5 sebelum perlumbaan berlangsung.

Sementara itu, pelumba 'otai' tuan rumah, Apiwath Wongthananon yang beraksi bersama pasukan Yamaha Tekhne Racing Team Asean menjuarai Perlumbaan 1 kelas pertengahan, SS600.

Sentiasa diberikan cabaran sengit termasuk beberapa kedudukannya sebagai pendahulu dipintas, Wongthananon tampak tenang untuk melintasi garisan penamat sebagai juara diikuti pelumba Indonesia, Mohammad Adenanta Putra (Astra Honda Racing).

Melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba negara, Md Helmi Azman dari pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing dengan rakan sepasukannya, Azroy Hakeem Anuar di tempat ke-4.

Sementara itu, tiada kedudukan di posisi podium dapat dijelmakan barisan pelumba negara dalam kelas lebih bawah iaitu AP250 yang dikuasai pelumba Indonesia.

Situasi sama turut berlaku dalam kelas kapcai UB150 yang menyaksikan penguasaan pelumba Indonesia namun tempat ke-4 yang diraih pelumba negara, Md Akid Aziz (PitsBike OneWay JRT Tech2 Racing) membenarkannya kekal sebagai pendahulu kejuaraan kelas berkenaan.

Kedudukan 5 terbaik Perlumbaan 1 ARRC Buriram

ASB1000

  1. Andi Farid Izdihar - Honda Asia-Dream Racing with Astemo (20'44:539s)

  2. Md Zaqhwan Zaidi - Honda Asia-Dream Racing with Astemo (20'46:156s)

  3. Yuki Kunii - SDG Team HARC-PRO Honda Ph. (20'48:724s)

  4. Nakarin Atiratphuvapat - Honda Asia-Dream Racing with Astemo (20'48:753s)

  5. Hafizh Syahrin Abdullah - JDT RACING TEAM (20'53:221s)

SS600

  1. Apiwath Wongthananon - YAMAHA TEKHNE Racing Team ASEAN (20'02:211s)

  2. Mohammad Adenanta Putra - ASTRA HONDA RACING TEAM (20'02:575s)

  3. Muhammad Helmi Azman - IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team (20'02:629s)

  4. Azroy Hakeem Anuar - IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team (20'03:033s)

  5. McKinley Kyle Paz - YAMAHA TEKHNE Racing Team ASEAN (20'04:239s)

AP250

  1. Muhammad Kiandra Ramadhipa - ASTRA HONDA RACING TEAM (18'53:236s)

  2. Arai Agaska Dibani Laksana - YAMAHA Racing Indonesia (18'53:395s)

  3. Muhammad Faerozi Toreqottullah - YAMAHA Racing Indonesia (18'53:236s)

  4. Herjun Atna Firdaus - ASTRA HONDA RACING TEAM (18'53:508s)

  5. Kitsada Tanachot - EEST NJT Racing Team (18'53:598s)

UB150

  1. M. Murobbil Vittoni - YAMAHA LFN HP969 INDONESIA Racing Team (16'28:200s)

  2. Adytya Fauzi - RACETECH SIXTY Racing Team (16'28:279s)

  3. Husni Zainul Fuadzy - YAMAHA LFN HP969 INDONESIA Racing Team (16'28:471s)

  4. Md Akid Aziz - PitsBike OneWay JRT Tech2 Racing Team (16'28:708s)

  5. Wahyu Aji Trilaksana - RACETECH SIXTY Racing Team (16'28:867s)

TVS Asia One Make Championship

  1. Hiroki Ono - Japan (14'56:727s)

  2. Sarthak Chavan - India (14'56:849s)

  3. Atih Kanghair - Thailand (14'56:896s)

  4. Mohd Ramdan Rosli - Malaysia (14'57:166s)

  5. Chiranth Vishwanath - India (14'57:226s)