ASSEN Beri Pengajaran Berharga - Hakim Danish
Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi terpaksa menukar strategi pada penghujung perlumbaan akibat masalah cengkaman tayar belakang, yang memaksanya memadamkan hasrat untuk memburu kedudukan podium
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/29/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menjadikan aksi di Grand Prix (GP) Belanda di Assen, sebagai satu pengajaran yang amat berharga dalam usahanya mematangkan diri untuk bersaing di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.
Reaksi positif itu disuarakan pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu selepas dia terpaksa menukar strategi pada penghujung perlumbaan akibat masalah cengkaman tayar belakang, yang memaksanya memadamkan hasrat untuk memburu kedudukan podium.
"Saya akan jadikan perlumbaan ini sebagai pengalaman untuk terus belajar dan memperbaiki kelemahan. Saya mahu membawa segala pengajaran yang diperoleh hari ini ke perlumbaan seterusnya," kata Hakim mengulas mengenai prestasinya di Litar TT Assen.
Terdahulu, Hakim mempamerkan kebangkitan menakjubkan apabila bermula dari petak ke-16 berjaya meletakkan diri dalam kelompok perebutan podium ketika perlumbaan berbaki lima pusingan.
Begitupun, menyedari jenteranya mula bergelut dengan situasi tayar, Hakim mengambil keputusan matang untuk tidak terlalu memaksa jentera bagi mengelak risiko terbabas, sekali gus memastikan dia selamat menamatkan saingan dan mengutip sembilan mata berharga di kedudukan ketujuh (dinaikkan dari tempat ke-10 susulan penalti pelumba lain).
Biarpun terlepas peluang ke podium pada perlumbaan yang dimenangi pelumba Maximo Quiles, Hakim mengakui dia tetap berpuas hati dengan prestasinya dan kini meletakkan fokus sepenuhnya menjelang GP Jerman.
"Secara keseluruhannya, saya gembira dengan prestasi yang dipamerkan hari ini dan kini tidak sabar untuk terus menghadapi perlumbaan seterusnya di Sachsenring (12 Julai ini).
"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja, khususnya AEON Credit Service Malaysia, pasukan, keluarga dan para penyokong yang sentiasa percaya dan berdiri di belakang saya.
"Saya akan terus bekerja keras, memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan dan meneruskan usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.

