ATC 2023: Veda Pratama Juarai Perlumbaan 2, 'Muka Sama' Lengkap Podium Di Sepang!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/20/20231 min read
PELUMBA Indonesia, Veda Pratama membuktikan kewibawaannya sebagai antara calon juara keseluruhan kejuaraan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC 2023) dengan memenangi Perlumbaan 2 yang berlangsung, hari ini.
Lebih 'manis' buat Pratama, kemenangannya di Litar Antarabangsa Sepang pada perlumbaan itu bagaikan 'membalas dendam' kekalahannya pada Perlumbaan 1 semalam oleh Riichi Takahira.
Takahira yang juga muka baru atau 'rookie' juga tidak begitu mengecewakan apabila menamatkan perlumbaan sebagai naib juara di belakang Pratama.
Melengkapkan podium adalah seorang lagi pelumba Jepun, Zen Mitani yang menyaksikan kedudukan podium tidak berubah daripada Perlumbaan 1, semalam.
Tidak seperti semalam yang menyaksikan Pratama hanya dipisahkan dengan catatan masa cukup kecil dengan Takahira, pelumba Indonesia itu tidak mahu situasi berulang.
Kali ini, dia melepasi garisan penamat 2.399 saat di depan Takahira.
Dan sekali lagi, tiada keputusan membanggakan dicapai barisan pelumba negara dalam perlumbaan ATC yang berlangsung di gelanggang sendiri ini.
Pelumba terbaik negara adalah Farres Putra yang melepasi garisan penamat di kedudukan ke-8 diikuti Farish Hafiy (p9) dan Ahmad Darwisy (p10).
Seorang lagi pelumba negara, Adi Putra menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15.