ATC 2024: Farish 'DNF' Di Motegi, Asyraf, Farhan Kutip Mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/5/20241 min read

HARAPAN untuk melihat pelumba negara, Farish Hafiy untuk menaiki podium pada Pusingan 4 Asia Talent Cup (ATC) 2024 di Jepun tidak kesampaian apabila terjatuh seawal pusingan pertama di Motegi.

Farish tampak cukup berpeluang untuk mengulangi kejayaan di Indonesia pada Pusingan 3 selepas berjaya memecah dominasi pelumba Jepun ketika kelayakan.

Dan sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-2, pelumba kelahiran Selangor itu terjatuh seawal pusingan pertama ketika bersaing di kelompok depan.

Sementara itu, kemalangan yang menimpa Farish menyaksikan ketiga-tiga kedudukan podium di Motegi disapu bersih pelumba tuan rumah.

Kemenangan menjadi milik Zen Mitani yang juga kemenangan ke-5 daripada tujuh perlumbaan.

Begitupun, Mitani disaing sengit Ryota Ogiwara dan hanya dibezakan 0.115 saat di garisan penamat dan pelumba 'Rookie', Seiryu Ikegami ketiga.

Dua lagi wakil negara, Asyraf Zaquan dan Farhan Naqib menamatkan perlumbaan dalam kelompok mata selepas masing-masing melepasi garisan penamat di kedudukan ke-13 dan ke-14.