ATC 2024: Farish Hafiy Pastikan Jalur Gemilang Berkibar di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/18/20241 min read

FARISH Hafiy membuktikan dia mampu untuk berdiri di pentas podium perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2024 selepas selepas menamatkan Perlumbaan 2 di Litar Antarabangsa Petronas (SIC), hari ini di tempat ketiga.

Keputusan yang berjaya diraih Farish dan menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di SIC seperti mengubati sedikit kekecewaan pada Perlumbaan 1 pada Sabtu yang menyaksikannya sekadar menamatkan aksi di kedudukan ke-7.

Memulakan perlumbaan di petak keempat, Farish tampil dengan persembahan lebih meyakinkan pada aksi kedua itu malah pada satu ketika menghuni kedudukan kedua.

Merebut kedudukan podium bersama beberapa lagi pelumba, Farish begitupun terpaksa berpuas hati apabila kedudukannya dipintas pelumba Indonesia, Kiandra Ramadhipa di selekoh terakhir.

Sekali lagi, perlumbaan dimenangi pelumba Jepun, Zen Mitani dengan pelumba Ramadhipa meraih tempat kedua.

Menjadi podium pertama di ATC, Farish mengakui cukup gembira dengan keputusan yang diraihnya.

"Persaingan pada Perlumbaan 2 cukup sengit tetapi saya berjaya menempatkan diri saya di kelompok depan," kata Farish. "Pada selekoh terakhir, saya dipintas dua pelumba namun dapat mengejar kembali dan mendapat kedudukan ketiga ini.

"Terima kasih kepada ZK Racing, mekanik, keluarga serta semua rakyat Malaysia yang menyokong saya."

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Farhan Naqib turut berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok kutipan mata selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15.

Tetapi, Asyraff Zaquan hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18.