ATC 2025: Pelumba Jepun, Ryota Ogiwara Tawan PETRONAS SIC
Tiada keputusan mengujakan daripada dua wakil negara di pentas Asia Talent Cup (ATC) 2025, Adam Danial dan Sharf Muhriz pada Pusingan 3 di laman sendiri, PETRONAS SIC
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/3/20251 min read


PELUMBA muda Jepun, Ryota Ogiwara terus garang apabila merangkul kemenangan berganda pada Pusingan 3 Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hari ini.
Selepas menjuarai Perlumbaan 1 yang berlangsung pada sebelah pagi, pelumba berusia 16 tahun itu turut cemerlang apabila memenangi Perlumbaan 2 di sebelah petang.
Kemenangan juga adalah yang keenam berturut-turut buat Ogiwara selepas dia turut menjuarai perlumbaan di Thailan dan Qatar pada pusingan sebelum ini.
Menariknya, skrip di podium pada kedua-dua perlumbaan turut tidak berubah yang menyaksikan seorang lagi pelumba Jepun, Seiryu Ikegami bergelar naib juara dan pelumba Indonesia, Badly Ayatullah ketiga.
Dalam pada itu, dua wakil negara Adam Danial dan Sharf Muhriz menamatkan Perlumbaan 1 dalam kelompok pungutan mata masing-masing di tempat ke-13 dan ke-15.
Begitupun, nasib malang menimpa Adam apabila menamatkan Perlumbaan 2 dengan status DNF manakala Sharf di tempat ke-11.
Pusingan 4 ATC 2025 dijadual berlangsung di Jepun pada 28 September ini.
