AVETA Gegar Pasaran Skuter Gaya 'ADV', Lancar Aveta Falcon 180, RM 9,798!
Aveta Falcon 180 yang tampil dengan rekaan 'garang' itu diperkenalkan dalam 3 pilihan warna menarik iaitu Sahara Bronze, Alpine White dan Storm Grey turut hadir dengan ciri-ciri menarik seperti panel meter TFT 7-inci, fork USD dan TCS
PELANCARAN
10/17/20261 min read


AVETA Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dua 2 tempatan apabila melancarkan skuter bergaya 'Adventure' Aveta Falcon 180 (2026) bersama penawaran harga menarik RM 9,798 (tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans).
Skuter yang tampil dengan rekaan 'garang' itu diperkenalkan dalam 3 pilihan warna menarik iaitu Sahara Bronze, Alpine White dan Storm Grey.
Menggunakan nama '180', Aveta Falcon 180 (2026) berkongsi platform enjin yang sama dengan 2 model Aveta Vanguard 180 dan Aveta Viper 180 iaitu unit 174 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntihan Bahan Api, SOHC bersama transmisi automatik CVT.
Ia berupaya menjana 18 Hp pada 8,500 rpm serta tork 17.2 Nm pada 6,500 rpm.
Selain rekaan yang dijangka mampu menarik peminat skuter dalam segmen berkenaan, antara tarikan paling menonjol pada Aveta Falcon 180 adalah ia digandingkan dengan teknologi moden seperti panel meter TFT 7-inci.
Selain memaparkan pelbagai maklumat tunggangan, skrin pintar ini turut berfungsi memainkan semula rakaman video daripada kamera terbina yang dipasang di bahagian depan.
Aspek pengendalian, Aveta Falcon 180 (2026) dipadankan dengan fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak berkembar (belakang) lengkap 'sub tank' dengan rim bersaiz 14-inci (depan) dan 13-inci (belakang) dibalut tayar CST.
Ciri keselamatannya turut mendahului kelasnya apabila dilengkapi sistem ABS dwi-saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), di mana kedua-dua fungsi ini boleh dinyahaktifkan secara manual menerusi butang pada bar hendal.
Ciri praktikal lain termasuk tangki bahan api 14 liter, sistem lampu LED penuh bersama lampu kabus, penghadang angin boleh laras, sistem kunci pintar, serta soket pengecas USB-A dan USB-C.





