AVETA Malaysia Bakal Perkenal Dua Skuter Baru, Pelancaran Minggu Depan?

TERKINI

2/15/20251 min read

AVETA Malaysia, baru-baru ini melancarkan penawaran terbaharunya dalam segmen skuter, Aveta Vanguard 250 (2025) dan perkembangan terkini, syarikat itu akan memperkenalkan model baharu juga dalam segmen sama.

Dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, bukan satu model yang akan dilancarkan, tetapi dua model.

Apa yang menarik, syarikat pengeluar motosikal itu memang tidak berniat untuk merahsiakan perkara berkenaan.

Malah, video 'teaser' atau usik mengenai skuter itu sudah pun dipertontonkan di laman sosial media rasmi syarikat itu ketika ini.

Berdasarkan video berkenaan, dua model yang akan diperkenalkan itu memiliki nama yang sama iaitu Nova tetapi dibezakan dengan sesaran enjin iaitu Aveta Nova 125 dan 160.

Sebagai model 'abang', Aveta Nova 160 bakal mendapat lebih banyak 'jajan' menarik termasuk panel meter jenis digital penuh, kunci pintar dan sebagainya.

Tetapi apa yang mengujakan adalah rekaan Aveta Nova 160 yang dikatakan cukup mirip model popular daripada syarikat pengeluar Jepun, NVX.

Kepada yang hadir ke pameran Malaysia Autoshow pada tahun lalu, Aveta juga pernah menayangkan sebuah skuter dan itulah dikatakan model Nova.

Tidak dapat dipastikan mengenai angka harga yang akan diumumkan, tetapi menurut laporan media automotif tempatan, Aveta Nova 125 dijangka akan diperkenalkan adalah di bawah RM 6k.

Manakala 'Abangnya' lebih tinggi sedikit iaitu bawah RM 9k.

Sekalipun tidak memperoleh maklumat rasmi daripada Aveta Malaysia sendiri, tetapi berdasarkan jemputan media, syarikat itu akan menganjurkan sebuah acara pada minggu depan. Justeru, ada kemungkinan ia turut menjadi lokasi pelancarannya. Sama-sama kita nantikan.