AVETA Malaysia Masuk Dalam Buku MBoR, Serahan Motosikal Terbesar Di Malaysia!

Aveta Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBoR) menerusi penganjuran acara penyerahan motosikal terbesar di Malaysia

TERKINI

7/7/20251 min read

Aveta Malaysia
Aveta Malaysia

AVETA Malaysia dengan kerjasama pengedar sahnya CKT Motor, baru-baru ini mencetak rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBoR) menerusi penganjuran acara penyerahan motosikal terbesar di Malaysia.

Dalam acara berkenaan, sejumlah 168 unit motosikal Aveta yang terdiri daripada model Vanguard 250 dan Nova 160 diserahkan kepada pemilik masing-masing dengan acara bersejarah itu berlangsung di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Aveta berkata, acara berkenaan menjadi penanda aras penting dalam perkembangan syarikat itu sekali gus membuktikan pertumbuhan pesat jenamanya selain sambutan hangat terhadap model-model terbaharunya.

Sejak dilancarkan pada awal tahun ini, skuter Aveta Vanguard 250 dan Nova 160 sudah mencatatkan lebih daripada 10,000 tempahan di seluruh negara.

Justeru menurut Aveta, ia menjadi bukti terhadap keyakinan dan pengaruhnya dalam industri dua roda di Malaysia.

“Ini bukan sekadar acara penyerahan motosikal, tetapi juga satu perayaan semangat inovasi, komuniti dan misi Aveta untuk menetapkan penanda aras baharu dalam industri dua roda negara,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Aveta, Steven Lim pada majlis berkenaan dalam kenyataan dikeluarkan.

Steven dalam pada itu mengulangi komitmen syarikat itu untuk terus menghasilkan motosikal yang berkualiti tinggi, berprestasi dan boleh dipercayai serta membina komuniti penunggang yang semakin berkembang di seluruh negara.

Dengan rangkaian pengedar, pusat servis dan stokis yang semakin meluas di seluruh negara serta kejayaan program perkhidmatan Aveta Care on Wheels yang menawarkan servis dari pintu ke pintu, para pemilik Aveta dikatakan boleh menikmati pengalaman pemilikan yang lebih mudah dan tanpa ragu.