AVETA Malaysia Perkenalkan ACW, Perkhidmatan Selepas Jualan 'Bergerak'

TERKINI

12/28/20231 min read

AVETA Malaysia terus mempertingkatkan perkhidmatan selepas jualannya dengan memperkenalkan perkhidmatan terbaharu dan unik dikenali ‘Aveta Care on Wheels’ (ACW).

Seperti namanya, ACW adalah inisiatif perkhidmatan selepas jualan bergerak syarikat pengeluar motosikal tempatan itu.

Sebagai permulaan, ACW oleh Aveta Malaysia ini 'dikuatkan' dengan empat kenderaan yang merangkumi satu trak pikap dan tiga unit motosikal.

Menurut Aveta Malaysia, matlamat ACW adalah untuk memberikan perkhidmatan sokongan kepada semua pemilik motosikal Aveta di seluruh Semenanjung Malaysia sekiranya mereka berhadapan dengan masalah teknikal.

Dan untuk lebih keyakinan, Aveta Malaysia menegaskan krew ACW terdiri daripada kakitangan syarikat itu yang berpengalaman dan dilatih khusus untuk menyelesaikan sebarang isu teknikal.

Begitupun seperti dinyatakan lebih awal, perkhidmatan ACW hanya boleh didapati di seluruh Semenanjung Malaysia namun syarikat itu merancang untuk meluaskannya termasuk di Sabah dan Sarawak pada masa depan.

Sebelum ini, Aveta Malaysia turut memperkenalkan Aveta Service Corner (ASC) yang dilaksanakan oleh pengedar rasmi motosikal Aveta, Ann Chuan Motor.

Kepada pemilik motosikal Aveta, perkhidmatan ACW beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dari jam 10 pagi hingga 5.30 petang.

Manakala perkhidmatan secara temujanji boleh dibuat melalui talian Aveta Customer Careline di +60129565409.