AVETA Motor Malaysia Lancar 3 Model Baharu, VS115, Serra 125 & Nova 200!

Pengenalan kapcai marhaen Aveta VS115 dan 2 skuter Aveta Serra 125 dan Aveta Nova 200 disifatkan Aveta Motor Malaysia menegaskan komitmen syarikat itu terhadap keperluan pengguna tempatan

PELANCARAN

4/12/20262 min read

AVETA Motor Malaysia meningkatkan penawaran dalam katalognya apabila melancarkan tiga model baharu - 2 skuter dan 1 kapcai, hari ini yang sekali gus menegaskan komitmen syarikat itu terhadap keperluan pengguna tempatan.

Tiga model berkenaan adalah:

  • Aveta VS115 (kapcai)

  • Aveta Serra 125 (skuter)

  • Aveta Nova 200 (skuter)

Aveta VS115

Tiba sebagai model generasi kapcai 'rakyat' berkenaan, apa yang menarik adalah Aveta VS115 (2026) kekal berteraskan asasnya sebagai model mobiliti yang praktikal, mampu dimiliki dan diumumkan pada penawaran harga menarik RM 3,488 (asas).

Dengan rekaan tipikal kapcai, Aveta VS115 (2026) dipadankan dengan enjin 113 cc, 1 Silinder, Penyejuk Udara. Menurut Aveta, ia kini dilengkapi lampu isyarat yang dipertingkatkan dan dua port pengecas USB Type-A dan Type-C untuk kemudahan gaya hidup masa kini.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Maroon, Blue dan Grey.

Aveta Serra 125

Kehadiran Aveta Serra 125 menandakan kemasukan Aveta ke dalam segmen skuter dengan gaya dek rata sekali gus memperluaskan penawaran jenama itu dengan pilihan yang lebih mudah diakses dan praktikal untuk kegunaan harian.

Tampil dengan rekaan yang moden, harga jualan yang diumumkan untuk Aveta Serra 125 (2026) adalah RM 5,088 (asas).

Dipadankan dengan enjin 124 cc, 1 Silinder, Suntikan Bahan Api BOSCH, Aveta Serra 125 menawarkan keseimbangan antara kecekapan bahan api dan prestasi yang diyakini. Ciri-ciri praktikal seperti brek cakera (depan), brek dram (belakang) dua port pengecas USB Type-A dan Type-C .

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Ash Grey, Mystic Mint dan Pixel Blue.

Aveta Nova 200

Pengenalan Aveta Nova 200 (2026) bukan sekadar meningkatkan penawaran dalam siri berkenaan namun menandakan penambahbaikan dalam siri Nova mengikuti kejayaan memberangsangkan serta penerimaan positif pasaran terhadap rangkaian model berkenaan.

Aveta Motor Malaysia menyatakan Aveta Nova 200 diperkenalkan bagi memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin berkembang melalui peningkatan dari aspek prestasi, reka bentuk dan keselesaan.

Sebagai model baharu, Aveta Nova 200 tampil sebagai antara skuter sporty paling ringan dalam kelasnya dengan berat hanya 112 kg dan ia menghasilkan kuasa maksimum 13.5 kW. Dengan gabungan ini, ia menawarkan keseimbangan yang mantap antara prestasi dan ketangkasan.

Ciri-ciri menarik termasuklah ia dilengkapi brek cakera hadapan dan belakang, sistem ABS, Kawalan Cengkaman (TCS), sistem Tanpa Kunci dan Idling Stop System (ISS).

Sistem suspensi turut dipertingkat menerusi penggunaan penyerap hentak berkembar bergas boleh laras, tempat duduk baharu yang dipertingkatkan dengan sandaran belakang, ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas dan lega bumi 135 mm

Antara yang menarik terutama dari sudut rekaan adalah Aveta Nova 200 menampilkan reka bentuk lampu hadapan yang lebih tajam dan aerodinamik, diserlahkan lagi dengan elemen pencahayaan beriluminasi yang dipertingkatkan serta winglet depan yang menyerlahkan penampilannya.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Neon Pulse, Nano Grey dan Nordic Blue