AVETA Nova 160 Signature Edition (2026) Diperkenalkan, Harga RM 8,088!

Dua pilihan warna ditawarkan untuk Aveta Nova 160 Signature Edition (2026) yang datang bersama corak grafik berbeza dan katanya menarik iaitu Mantis Green dan Cosmic Purple

TERKINI

1/10/20261 min read

AVETA Malaysia mengumumkan kemas kini untuk skuter bergaya 'Sport' popularnya, Aveta Nova 160 yang kini tampil dengan pengenalan versi Signature Edition (SE) bagi model tahun 2026 dan dikatakan lebih menarik.

Secara keseluruhan, dua pilihan ditawarkan dan datang dalam dua pilihan warna dengan corak grafik berbeza iaitu Mantis Green dan Cosmic Purple.

Menurut Aveta Motor Malaysia, kehadiran versi SE ini berupaya memberikan imej lebih menarik dan moden terhadap model berkenaan.

Untuk Aveta Nova 160 Signature Edition (SE) 2026 dengan pilihan warna Mantis Green, apa yang menarik adalah ia turut dihasilkan dalam unit terhad iaitu 1000 unit dan akan dilengkapi nombor siri unik bermula dari 0001/1000.

Dan unit ini hanya ditawarkan secara eksklusif di pengedar 'Aveta Preferred' seluruh Malaysia serta sudah pun berada di pasaran ketika ini.

Bagi Aveta Nova 160 Signature Edition (SE) dengan pilihan warna Cosmic Purple, ia dijangka berada di pasaran bermula minggu ketiga Januari 2026 dan akan ditawarkan di semua pengedar sah Aveta di seluruh negara.

Ulas trenkuasa, Aveta Nova 160 dijana enjin 154.4 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC bersama transmisi automatik CVT.

Kuasa 15.8 Hp @ 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm @ 6,500 rpm.

Ciri menarik termasuklah brek cakera depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.