AVETA NOVA 250 (2025) Dilancarkan, Persaingan Skuter Maxi Terus 'Panas', RM 14.4k!
Berentap dalam segmen yang boleh dianggap cukup sengit dengan pelbagai penawaran di pasaran tempatan, dari sudut rekaan, Aveta Nova 250 (2025) jelas tidak kalah dengan penampilan yang mirip skuter daripada jenama negara pengeluar Jepun
PELANCARAN
10/28/20251 min read


SELEPAS agak lama berteka-teki di media sosial, Aveta Malaysia, hari ini melancarkan penawaran terbaharunya yang menghangatkan pasaran dalam segmen skuter maxi tempatan, Aveta Nova 250 (2025) yang diumumkan pada harga menarik, RM 14,388 (asas).
Bersaing dalam segmen yang boleh dianggap cukup sengit dengan pelbagai penawaran di pasaran tempatan, dari sudut rekaan, Aveta Nova 250 (2025) jelas tidak kalah dengan penampilan yang mirip skuter daripada jenama negara pengeluar Jepun.
Dua pilihan warna tersedia iaitu:
Emerald Green
Metro Grey
Menurut Aveta Malaysia, kehadiran Aveta Nova 250 (2025) adalah bagi melengkapkan penawarannya dalam siri berkenaan mengikuti pelancaran Nova 125 dan Nova 160 lebih awal.
Dan sebagai promosi jualan, Aveta Malaysia turut melakukan tawaran menarik apabila 200 pembeli Aveta Nova 250 (2025) terawal akan diberikan dengan kotak barangan belakang serta tapak daripada jenama Givi yang bernilai RM750 secara percuma.
Di bahagian trenkuasa, Aveta Nova 250 (2025) dijana enjin 244.3 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan APi, SOHC yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah 25.5 Hp pada 8,250 rpm dan tork 23 Nm pada 6,500 rpm.
Untuk bersaing dalam segmen yang sengit, Aveta Nova 250 (2025) dipadankan dengan pelbagai ciri menarik antaranya panel meter TFT 7-inci yang boleh disambungkan ke telefon pintar, kamera dashcam (depan), pengecas USB, Sistem Kunci Pintar, Lampu LED Penuh, TPMS (tyre pressure monitoring system), dan sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Sistem brek menggunakan cakera dengan kaliper 4 Piston (depan) dan cakera tunggal dengan kaliper 2 Piston (belakang) dan lengkap dengan sistem brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Suspensi dijana fork teleskopik (konvensional), penyerap hentak berkembar dengan 'sub tank'.
Info lain adalah seperti:
Tangki bahan api 12 liter
Berat 165 kg
Seperti biasa, setiap pembelian Aveta Nova 250 (2025) datang dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.





















