AVETA Nova 250 Edisi Ching Hooi (2026) Dilancarkan, Terhad 200 Unit, RM 14,888!
Seperti namanya, Aveta Nova 250 Edisi Ching Hooi (2026) dihasilkan secara eksklusif dengan pengeluaran dihadkan kepada 200 unit sahaja untuk pasaran menerusi perasmian Aveta Elite Centre Seremban yang dikendalikan pengedar sahnya, Ching Hooi Biker Sdn Bhd
PELANCARAN
11/15/20261 min read


AVETA Motorcycle Malaysia melancarkan satu lagi model skuter edisi terhad yang mempunyai kaitan dengan pengedarnya, Aveta Nova 250 Edisi Ching Hooi (2026).
Seperti namanya, skuter ini dihasilkan secara eksklusif dengan pengeluaran dihadkan kepada 200 unit sahaja untuk pasaran menerusi perasmian Aveta Elite Centre Seremban yang dikendalikan pengedar sahnya, Ching Hooi Biker Sdn Bhd.
Sebagai model bertaraf edisi pengumpul, ia diumumkan pada harga asas RM 14,888 dan bagi memberi nilai tambah kepada pembeli, setiap unit didatangkan bersama dua topi keledar khas berwarna kuning dan hitam.
Untuk menyerlahkan karakternya yang tersendiri, Aveta Nova 250 Edisi Ching Hooi menampilkan padanan warna eksklusif kuning/hitam, grafik kustom serta emblem khas, selain paparan grafik sambutan 'Aveta Nova 250 Edisi Terhad Ching Hooi' pada panel meter sebaik sahaja suis penghidup diaktifkan.
Pengenalan model istimewa itu dirumus khas untuk peminat siri Nova yang menghargai gaya sporty dan eksklusif, sekali gus membuktikan komitmen jenama berkenaan dalam membawa pembaharuan hasil maklum balas bersama rakan pengedar tempatan.
Sementera itu, pembukaan rasmi pusat 3S terbaharu jenama itu, Ching Hooi Biker – Aveta Elite Centre di Seremban memperluas dan mengukuhkan jaringan sokongan pemilikan Aveta di Negeri Sembilan.
Pusat integrasi serba moden ini menggabungkan bilik pameran motosikal, pusat servis penyelenggaraan serta bekalan alat ganti tulen di bawah satu bumbung bagi memudahkan urusan pemilikan motosikal MForce Bike untuk pelanggan di kawasan Seremban dan sekitarnya.
Menurut Aveta Motorcycle Malaysia, langkah melantik Ching Hooi Biker sebagai Aveta Elite Centre mencerminkan strategi pengeluar motosikal itu untuk bekerjasama rapat dengan rakan niaga yang memiliki kepakaran mendalam terhadap demografi dan keperluan penunggang di kawasan setempat.





