AVETA Nova 250 G Elite Edition Dilancarkan, Terhad 128 Unit, RM 14,888!
Sebagai model edisi terhad, Aveta Nova 250 G Elite Edition tampil dengan skema warna eksklusif, rekaan grafik berbeza, pelekat nombor siri individu pada setiap unit di bahagian kanan panel sisi, rim berwarna jingga, bar hendal 'Sporty', dan panel meter dengan grafik G Elite
PELANCARAN
10/11/20261 min read


AVETA Motor Malaysia melancarkan skuter edisi terhad, Aveta Nova 250 G Elite Edition yang ditawarkan pada harga asas RM 14,888 (asas) sempena perasmian Aveta Elite Centre - pusat sehenti berstatus 'Elite' pertama jenama itu di Shah Alam, Selangor.
Apa yang istimewa, Aveta Nova 250 G Elite Edition dihasilkan dalam kuantiti yang sangat terhad iaitu hanya 128 unit sahaja.
Sebagai model edisi terhad, Aveta Nova 250 G Elite Edition tampil dengan skema warna eksklusif, rekaan grafik berbeza, pelekat nombor siri individu pada setiap unit di bahagian kanan panel sisi, rim berwarna jingga, bar hendal 'Sporty', dan panel meter dengan grafik G Elite.
Selain itu, setiap pembelian turut menerima helmet dengan corak istimewa G Elite.
Tiada perubahan dari sudut rekaan mahupun trenkuasa dengan Aveta Nova 250 G Elite Edition kekal dengan padanan enjin 244.3 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC dengan transmisi auto CVT.
Kuasa berada pada angka 25.5 Hp @ 8,250 rpm dan tork 23 Nm @ 6,500 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak kembar dengan 'Sub-Tank' (belakang). Sistem membrek pula dijana cakera tunggal dengan kaliper 4 piston (depan) dan cakera tunggal dengan kaliper 2 piston (belakang).
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran datang secara standard dan ia turut memiliki ciri Kawalan Cengkaman (TCS).
Selari dengan status eksklusifnya, Aveta Nova 250 G Elite Edition hanya boleh didapati dan ditawarkan secara khusus melalui Aveta Elite Centre Shah Alam sahaja.
Dalam pada itu, Aveta Elite Centre Shah Alam tampil dengan konsep pusat sehenti yang menempatkan ruang pameran khusus, pusat servis serta kemudahan alat ganti di bawah satu bumbung.
Kemudahan bersepadu ini membolehkan pelanggan mengenali rangkaian motosikal Aveta dengan lebih dekat, di samping mendapatkan sokongan khidmat selepas jualan yang diperlukan dengan lebih mudah.





