AVETA Ranger Cub Cross 115 (2024) Dilancar, 2 Varian, Harga Mula RM 5k!
PELANCARAN
5/21/20241 min read
AVETA Motor Malaysia menambah penawaran dalam katalognya dengan melancarkan kapcai terbaharu, Aveta Ranger Cub Cross 115 (2024) yang disempurnakan di acara Malaysia Autoshow 2024.
Dua varian Aveta Ranger Cub Cross 115 (2024) diperkenalkan iaitu Standard yang dipadankan dengan pilihan warna Hunter Green bersama harga jualan asas RM 4,988.
Dan untuk varian Edisi Istimewa atau SE, harga asas yang diumumkan adalah RM 5,188 bersama pilihan warna Desert Storm.
Selain pilihan warna yang bebeza, antara perbezaan membabitkan kedua-dua varian adalah Aveta Ranger Cub Cross 115 (2024) Standard dipadankan dengan rim 'Sport' manakala varian SE menggunakan rim jenis jejari.
Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Menurut Aveta Motor Malaysia, Aveta Ranger Cub Cross 115 (2024) dihasilkan daripada platform terdahulu - Ranger 110 - bagi memenuhi kehendak generasi muda yang mahukan sebuah kapcai 'Adventure' berkapasiti kecil.
Seperti 'abangnya' Aveta Ranger Max Exprorer, ia turut diposisinya dalam segmen gaya hidup.
Mengulas spesifikasi trenkuasa, Aveta Ranger Cub Cross 115 (2024) ini dipadankan dengan enjin bersesaran 113 cc, 1 Silinder, Penyejuk Udara, Karburator.
Dipadankan dengan transmisi 4 kelajuan, kuasa yang dihasilkan adalah 6.5 kW dan tork 9.0 Nm.
Sebagai motosikal yang 'disiapkan' untuk mengharungi laluan lasak, Aveta Ranger Cub Cross 115 (2024) dipadankan dengan visor angin, ‘hand-guard’, ‘rear mud-guard’ dan kedudukan paip ekzos yang tinggi.
Tampil dengan gaya retro menerusi penggunaan lampu depan berbentuk bulat, ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunaan panel meter digital, brek cakera (depan) dan bram (belakang) dan lampu LED (Depan dan belakang).
Kepada yang berminat, Aveta Ranger Cub Cross 115 (2024) akan mula memasuki pasaran pada Julai depan dengan pelanggan yang membuat pra-tempahan akan menerima T-shirt eksklusif.
Seperti biasa, setiap pembelian tersedia waranti dua tahun atau 20,000 km (Yang mana tiba dahulu).
Antara ciri-ciri menarik model ini ialah bentuk fizikalnya yang ringan dan mudah dikawal, gabungan sempurna reka bentuk klasik dan prestasi pengembara serta mempunyai imej yang tersendiri dan tidak menyerupai mana-mana model lain di pasaran.