AVETA Ranger Max Explorer (2023) Dilancar, RM 6,988 (Asas), 'Cub' Lasak Dari Kilang Pertama Malaysia!

PELANCARAN

11/23/20232 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal tempatan, Aveta Malaysia Sdn Bhd yang juga pengilang dan pemasang motosikal jenama Aveta, hari ini melancarkan model 'Cub' lasak kembara pertama di Malaysia dikenali Aveta Ranger Max Explorer (2023).

Seperti namanya yang 'ranggi', Aveta Ranger Max Explorer (2023) dihasilkan sebagai motosikal 'Cub' atau 'Kapcai' yang mempunyai rekaan unik bagaikan 'motocross'.

Justeru, ia turut berkemampuan untuk meredah laluan lasak selain tak kekok untuk digunakan di laluan jalan raya biasa atau 'Tarmac'.

Tampil dengan rekaan bergaya retro moden, Aveta Ranger Max Explorer (2023) ditawarkan dalam dua pilihan warna ditawarkan iaitu Sierra Yellow dan Forest Green.

Dan harga yang diumumkan adalah RM 6,988 (asas) tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Di bahagian trenkuasa, Aveta Ranger Max Explorer (2023) dijana enjin bersesaran 127 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.

Kuasa yang dihamburkan adalah 7.5 kW dan tork maksimum 10.5 Nm.

Sebagai motosikal yang dihasilkan untuk dwi-kegunaan, Aveta Ranger Max Explorer (2023) datang dengan hendal yang tinggi, pelana rendah pada ketinggian 760 mm, jarak lega bumi 180 mm selain kedudukan 'peg' kaki yang diselaraskan sesuai untuk memberikan keselesaan maksimum semasa menunggang sama ada ketika duduk atau berdiri.

Lebih menarik lagi, Aveta Ranger Max Explorer (2023) turut dipadankan dengan tangki bahan api sebesar 8.5 liter yang didakwa pertama dengan kapasiti sebesar itu untuk motosikal kapcai.

Dan menjadikan ia lebih mengujakan, motosikal ini turut mendapat penarafan EEV yang memberikan lebih kilometer untuk perjalanan jarak jauh.

Bagi mengharungi jalan yang tak rata atau laluan lasak, sistem suspensi motosikal ini turut dipadankan dengan penyerap hentak yang memiliki jarak 'travel' yang tinggi dengan penyerap hentak berkembar (belakang) yang lengkap dengan tangki gas.

Untuk meningkatkan gaya klasik, Avetra Ranger Max Explorer (2023) juga dipadankan dengan lampu hadapan LED dan cermin sisi yang bulat, paparan meter digital LCD bulat, lampu belakang bersepadu dengan lampu penunjuk yang unik.

Selain itu, rim yang digunakan adalah jenis jejari dengan kerangka jenis T-Bone separa terdedah dengan kemasan salutan hitam matte yang bukan saja memberikan pengendalian luar biasa, namun penampilan unik.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim Ranger Max Explorer diperkenalkan untuk memenuhi permintaan di pasaran ekoran kejayaan besar Ranger 110 yang terjual lebih 10,000 unit sejak pelancarannya pada 2021.

Kepada yang berminat, Aveta Malaysia menjelaskan Aveta Ranger Max Explorer (2023) akan berada di semua wakil pengedar sah Aveta mulai 11 Disember 2023.

Dan apa yang lebih menarik, 500 pelanggan pertama akan menerima kemeja-T Ranger Max Explorer eksklusif (Selagi stok masih ada).

Seperti biasa, dengan setiap pembelian, Aveta Malaysia turut menawarkan jaminan waranti dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba dahulu.