AVETA Ranger Max Explorer (2024) Dapat Warna Baru Starlight Black, Harga Kekal!

TERKINI

3/28/20241 min read

AVETA Motor Malaysia mengemaskini penawaran motosikal kapcai lasak popularnya, Aveta Ranger Max Explorer (2024) menerusi pilihan warna baharu yang didakwa 'premium' Starlight Black.

Apa yang menarik, tiada perubahan harga diumumkan untuk pilihan warna terbaharu itu berbanding sebelum ini, RM 6,988 (asas) tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Dan ia sudah pun boleh didapati di cawangan pengedar sah Aveta Motor Malaysia seluruh negara ketika ini.

Begitupun berdasarkan informasi yang diperoleh, pilihan warna Starlight Black ini cukup laris di pasaran yang menyaksikan pembeli mungkin terpaksa menunggu sedikit masa sebelum boleh mendapatkannya.

Selain Starlight Black, dua pilihan warna ditawarkan sebelum ini iaitu Sierra Yellow dan Forest Green turut dikekalkan.

Seperti diketahui, Aveta Ranger Max Explorer dirasmikan di Malaysia pada November tahun lalu.

Menariknya, ia dihasilkan sebagai 'Kapcai' yang mempunyai rekaan unik bagaikan 'motocross' dan memang memiliki kemampuan untuk meredah laluan lasak.

Mengulas ringkas bahagian trenkuasa, Aveta Ranger Max Explorer (2024) dijana enjin bersesaran 127 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.

Kuasa yang dihamburkan adalah 7.5 kW dan tork maksimum 10.5 Nm.

Sebagai motosikal yang dihasilkan untuk dwi-kegunaan, Aveta Ranger Max Explorer (2023) datang dengan hendal yang tinggi, pelana rendah pada ketinggian 760 mm, jarak lega bumi 180 mm selain kedudukan 'peg' kaki yang diselaraskan sesuai untuk memberikan keselesaan maksimum semasa menunggang sama ada ketika duduk atau berdiri.

Selain itu, Aveta Ranger Max Explorer turut dipadankan dengan tangki bahan api sebesar 8.5 liter yang didakwa pertama dengan kapasiti sebesar itu untuk motosikal kapcai.

Di bahagian suspensi motosikal ini turut dipadankan dengan penyerap hentak yang memiliki jarak 'travel' yang tinggi dengan penyerap hentak berkembar (belakang) yang lengkap dengan tangki gas.

Seperti biasa setiap pembelian akan turut ditawarkan jaminan waranti dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).