AVETA Vanguard 250 (2025) Rasmi Di Malaysia, 2 Varian, Mula RM 14.9k!

PELANCARAN

1/16/20252 min read

AVETA Malaysia akhirnya melancarkan jagoan terbaharunya dalam segmen skuter, Aveta Vanguard 250 (2025), model yang dilabel sebagai skuter 'Adventure touring crossover' pertama di Malaysia.

Menurut syarikat itu, antara alasan kenapa Aveta Vanguard 250 (2025) diposisikan dalam kategori itu adalah kerana ia adalah skuter gabungan maxi dan 'Adventure'.

Untuk pasaran Malaysia, dua pilihan varian ditawarkan iaitu:

Aveta Vanguard 250 (2025) Standard

  • Harga: RM 14,888

  • Warna: Nano Grey

Aveta Vanguard 250 (2025) Special Edition (SE)

  • Harga: RM 16,388

  • Warna: Majestic Green, Titanium Grey

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Lebih menarik, Aveta Malaysia turut mengumumkan yang 200 pemilik pertama skuter berkenaan akan memperoleh harga pengenalan istimewa iaitu RM 14,488 (Standard) dan RM 15,988 (SE).

Tampil dengan rekaan skuter maxi yang tampak gagah dan memiliki jarak lega bumi agak tinggi dan mampu meredah laluan lasak ringan, Aveta Vanguard 250 (2025) adalah skuter yang dihasilkan berasaskan platform 'Piaggio Nexus 250' yang dikenali dengan ketahanan.

Dilengkapi dengan enjin bersesaran 244.2 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan sistem transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 24.8 Hp @ 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm @ 6,500 rpm.

Dan menurut Aveta Malaysia, sebelum ia dilancarkan, skuter ini sudah pun 'dihenyak' untuk menjalani ujian ketahanan sejauh 20,000 km merentasi pelbagai jenis jalan daripada laluan berbatu hingga lebuh raya di semenanjung Malaysia.

Dijual pada harga sedikit tinggi, varian SE tampil dengan penambahan seperti:

  • Panel meter TFT berwarna dengan ciri sambungan ke telefon pintar (Mirror link)

  • Ada kamera pemuka depan (video boleh diakses menerusi aplikasi telefon pintar)

  • Sistem Kawalan Traksi (TCS) dinyahaktif

  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

  • Penyerap hentak berkembar dengan 'Sub tank'

  • Set roda 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang)

Sementara itu varian Standard menggunakan spesifikasi seperti berikut:

  • Panel meter LCD

  • Sistem Traksi (Tidak boleh nyahaktif)

  • Set roda 120/70-14 (depan) dan 140/60-13 (belakang)

Tiada perbezaan dari sudut sistem brek untuk kedua-dua varian iaitu brek cakera tunggal bersaiz 260 mm bersama kaliper 4 Piston (depan) dan brek cakera 240 mm kaliper 2 Piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Ciri-ciri lain yang dikongsi adalah seperti kapasiti tangki bahan api seluas 13 liter, ruang simpanan bawah pelana 23.5 liter, vosir pengadang angin dan bar hendal boleh laras, soket pengecas USB jenis A dan Sistem kunci pintar.

Kepada yang ingin tahu mengenai dimensi skuter ini, ia mempunyai panjang 2,120 mm, lebar 790 mm, tinggi 1,345 mm, jarak antara roda 1,535 mm dan jarak lega bumi 160 mm.

Pengarah Urusan Aveta Malaysia, Steven Lim, berkata Aveta Vanguard 250 mencerminkan komitmen syarikat itu untuk terus menjadi peneraju inovasi dalam segmen pengembaraan.

Kepada yang berminat, Aveta Vanguard 250 (2025) akan mula tersedia di semua pengedar sah Aveta Malaysia seluruh negara bermula Februari ini.

Setiap pembelian datang dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km jarak perjalanan (yang mana tiba dahulu).