AVETA Vanguard 250 (2026) Dapat 10 Penambahbaikan, RM 16.7k!
Aveta Motor Malaysia berkata Aveta Vanguard 250 meraih pencapaian jualan yang kukuh dengan penambahbaikan mmencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap evolusi produk yang dipandu secara langsung oleh maklum balas para penunggang
TERKINI
2/25/20261 min read


AVETA Motor Malaysia, hari ini mengumumkan kemas kini untuk model skuter yang diposisi dalam segmen 'Adventure Touring Crossover' (ATC), Aveta Vanguard 250 yang dikatakan diberi 10 ciri peningkatan bagi versi terbaharu 2026.
Sebagai info, Aveta Vanguard 250 dilancarkan pada tahun lalu dan menurut syarikat itu, ia adalah model yang menggabungkan keselesaan tunggangan jarak jauh, berinspirasikan pengembaraan dan praktikaliti harian.
Dikatakan meraih pencapaian jualan yang kukuh, penambahbaikan baharu ini dikatakan Aveta mencerminkan komitmen berterusan mereka terhadap evolusi produk yang dipandu secara langsung oleh maklum balas para penunggang.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia, Steven Lim berkata Aveta Vanguard diperkenalkan dengan matlamat memperluaskan kemampuan sebenar yang boleh ditawarkan oleh sebuah skuter 250 cc.
Katanya, dengan memberi perhatian yang mendalam terhadap maklum balas penunggangnya, pihak Aveta Motor Malaysia membuat keputusan untuk terus mempertingkatkan Aveta Vanguard 250 dengan sasaran memperkukuhkan skuter dalam segmen ATC.
Begitupun, tiada perubahan dari sudut trenkuasa dengan Aveta Vanguard 250 kekal dilengkapi dengan enjin bersesaran 244.2 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan sistem transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah 24.8 Hp @ 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm @ 6,500 rpm.
Berikut adalah 10 penambahbaikan yang dibuat:
Panel meter digital TFT 7” dengan skrin sentuh
Visor angin boleh laras elektrik
Reka bentuk suis kawalan baharu
Pelindung ekzos dipanjangkan
Penutup enjin baharu
Reka bentuk tapak kaki pembonceng dipertingkatkan
Ruang simpanan bawah pelana muat helmet full-face
Rekaan pelana baharu
Penyerap hentak belakang boleh laras
Sistem ABS dan TCS dengan ciri boleh nyahaktif
Selain penambahbaikan, Aveta Vanguard 250 (2026) turut mendapat dua pilihan warna baharu iaitu Nano Green dan Desert Bronze dan diumumkan pada harga jualan asas RM 16,688, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Menurut Aveta Motor Malaysia, Aveta Vanguard 250 akan berada di pasaran seluruh negara bermula awal Mac 2026









