AZLAN Shah Dapat Rakan Sepasukan Baru Di Zhuhai, Sho Nishimura Ganti Markus Reiterberger!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/16/20241 min read

PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan TKKR BMW Racing akan bergandingan bersama pelumba Jepun, Sho Nishimura bagi aksi Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Zhuhai, China, minggu ini.

Seperti pernah dimaklumkan sebelum ini, pelumba pasukan itu yang juga penyandang juara kelas elit ASB1000, Markus Reiterberger tidak dapat beraksi di Zhuhai berikutan pertindihan jadual perlumbaan.

Ini kerana Reiterberger dari Jerman pada minggu ini akan beraksi di Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) 2024 di Le Mans, Perancis.

Pada aksi Pusingan 1 ARRC 2024 di Thailand, bulan lalu, Azlan yang bergandingan dengan Reiterberger berjaya memenangi Perlumbaan 1 dan ketika ini menghuni tangga kedua keseluruhan pelumba kelas ASB1000.

Reiterberger dalam pada itu mengisi tempat ke-7 keseluruhan dan tampak cukup bergelut pada kedua-dua perlumbaan.

Di Perancis, Reiterberger akan bergandingan bersama Illya Mykhalchyk dari Ukraine dan Sylvain Guintoli dari Perancis bersama pasukan BMW Motorrad World Endurances Team.

Dan ketiadaan Reiterberger di China dilihat bakal menyukarkan peluangnya untuk mengekalkan kejuaraan keseluruhan dan memberi petanda takhta pada musim ini bakal bertukar tangan.

Sementara itu, berdasarkan informasi yang diperoleh, Nishimura adalah pelumba yang aktif berlumba di kejuaraan All Japan dan pernah memenangi gelaran keseluruhan Asia Talent Cup pada 2019.

Ketika ini, pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar daripada pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astremo memimpin carta kejuaraan.