AZLAN Shah Idam Satu Lagi Kejuaraan Sebelum Bersara

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/10/20241 min read

PEMENANG Perlumbaan 1 kelas elit ASB1000 ARRC 2024 di Buriram, Thailand, Azlan Shah Kamaruzaman menegaskan tidak akan menggantung sut lumbanya selagi belum menggapai satu lagi gelaran Asia.

Di usia 40 tahun, Azlan yang juga juara sulung kelas ASB1000 pada 2019 tiba di Buriram dengan pelbagai masalah bersama pasukannya, One XOX TKKR BMW Racing terutama membabitkan dana.

Tetapi apa yang mengagumkan, bekas pelumba Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia itu berjaya memenangi Perlumbaan 1 sebelum masalah jentera memaksanya menamatkan Perlumbaan 2 di tangga ke-5.

"Saya menjangkakan soalan ini kerana saya pernah bercakap mengenainya sebelum ini," kata Azlan memetik laporan ARRC. "Ayuh lihat bagaimana prestasi saya selepas ini, dan kemudian saya akan membuat keputusan.

"Sasaran utama saya adalah untuk merangkul sekali lagi kejuaraan, dan hanya selepas mencapainya baru saya pertimbangkan mengenai persaraan."

Mengulas lanjut, Azlan berkata dia mempercayai kemampuan yang dimiliki jentera BMW M1000RR yang ditunggangnya dan yakin peluang untuknya sekali lagi bergelar juara keseluruhan memang ada.

"Dalam tempoh tiga tahun selepas kejayaan saya pada 2019, saya bergelut dengan jentera yang kurang kompetitif.

"Hanya pada 2023 baru saya berpeluang untuk menunggang jentera yang menawarkan prestasi yang saya perlukan untuk bersaing di pentas tertinggi.

"Saya menghabiskan masa untuk meneroka kemampuan kemampuan dan mekaniknya. Dengan kepercayaan ini, saya bertekad untuk membuat kebangkitan dan merampas kembali kejuaraan tahun ini."

Selepas pusingan di Buriram, Azlan ketika ini menghuni tangga kedua carta kedudukan pelumba ASB1000 di belakang pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar dari Honda.