AZLAN Shah Julang Malaysia Di Buriram, Takluk Perlumbaan 1 ASB1000 ARRC 2024 Dengan Bergaya!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/16/20242 min read
AZLAN Shah Kamaruzaman bukan saja mengotakan janjinya untuk menaiki podium ASB1000 di Buriram, malah menjuarai Perlumbaan 1 kelas elit Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 itu dengan penuh bergaya.
Selepas mendominasi sesi latihan bebas pada Jumaat, momentum pelumba pasukan TKKR BMW Racing itu sedikit mengendur pada sesi kelayakan hari ini untuk mengisi petak kelima perlumbaan.
Dan disebalik pelbagai masalah yang dihadapi pasukan, termasuk menggunakan jentera BMW M1000RR musim lalu, pelumba berusia 39 tahun itu tampil dengan prestasi menakjubkan ketika perlumbaan.
Ketinggalan pada satu ketika, Azlan mengorak langkah di penghujung saingan dan mula berada di kedudukan kedua di belakang pendahulu Andi Farid Izdihar ketika perlumbaan berbaki empat pusingan.
Sedar dengan kemampuan dimiliki diri dan jenteranya, Azlan terus memberi tekanan kepada pelumba Indonesia dari pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo itu dan melakukan gerakan 'magis' di selekoh terakhir untuk meraih kemenangan.
Andi Farid yang terkejut dengan gerakan itu terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dan lebih manis buat peminat Malaysia, seorang lagi pelumba negara turut mengisi podium menerusi Zaqhwan Zaidi.
Begitupun, nasib jelas tidak menyebelahi seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan JDT Racing Team apabila terpaksa meninggalkan trek lebih awal selepas mengalami masalah teknikal.
Ia lebih mengecewakan apabila Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak ketiga tampak cukup bersedia untuk bersaing merebut kedudukan podium sebelum jentera Ducati Panigale V4R miliknya berdepan masalah.
Perlumbaan 2 ASB1000 ARRC 2024 di Buriram, Thailand dijadual pada jam 4.50 petang esok (Waktu tempatan).
Keputusan Perlumbaan 1 ASB1000 ARRC 2024 Thailand
1. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) TKKR BMW Racing Team, BMW M1000 RR, 20:50.147s
2. Andi Farid Izdihar (INA) Honda Asia-Dream Racing with Astemo, Honda CBR1000RR, +0.394s
3. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia-Dream Racing with Astemo, Honda CBR1000RR, +3.344s
4. Yuki Kunii (JPN) SDG Team HARC-PRO Honda Ph., Honda CBR1000RR, +3.527s
5. Nakarin Atiratphuvapat (THA) NHonda Asia-Dream Racing with Astemo, Honda CBR1000RR, +3.836s
6. Markus Reiterberger (GER) TKKR BMW Racing Team, BMW M1000 RR, +3.953s
7. Soichiro Minamimoto (JPN) Yamaha Tekhne Racing Team Asia, Yamaha YZF-R1M, +13.166s
8. Lachlan Epis (AUS) Evolution Sports Group, BMW M1000 RR, +21.288s
9. Kasma Danial Kasmayudin (MAS) Yamaha Tekhne Racing Team Asia, Yamaha YZF-R1M, +26.141s
10. Teo Ywe Joe (MAS) Savitar ESG Team Asia, BMW M1000 RR, +1:38.458s
DNF
Passawit Thitivararak (THA) Astemo SI Racing with Thai Honda, Honda CBR1000RR
Osama Mareai (YEM) YEM VICTOR RACING Team, Yamaha YZF-R1M
Hafizh Syahrin Abdullah (MAS) JDT Racing Team, Ducati Panigale V4R