AZLAN Shah Kekal Positif Menuju Mandalika

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/26/20241 min read

PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman mengharapkan keputusan positif mampu dilakarnya pada aksi Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Mandalika, Indonesia hujung minggu ini.

Selepas mengharungi pelbagai kesukaran terutama di awal musim, pelumba kelahiran Selangor itu terus membuktikan yang menyerah kalah tiada dalam kamus dirinya untuk ketika ini menghuni tangga kedua kejuaraan kelas elit ASB1000.

Malah, pelumba pasukan TKKR BMW Racing berjaya merangkul kemenangan pada perlumbaan pembukaan ARRC di Thailand selain satu lagi podium di China dan konsisten mengutip mata.

Dan pelumba berusia 39 tahun itu ketika ini hanya dibezakan lima mata dengan pendahulu, Hafizh Syahrin Abdullah (JDT Racing Team) berbakit tiga lagi pusingan termasuk di Mandalika.

"Ia adalah proses selangkah demi selangkah. Proses meraih kemenangan bukan berlaku dalam tempoh sehari," kata Azlan.

"Ada begitu banyak kerja keras dari sudut perancangan dan perlaksanaan. Dan sebagai tambahan, ada tempoh yang baik dan buruk terhadap keadaan jentera.

"Jentera saya, tiada keraguan mempunyai rekod yang cukup baik dari sudut prestasi dan potensi untuk menang memang ada. Dan ia bergantung kepada pelarasan yang betul.

"Tetapi saya agak gembira dan merasa positif kerana saya tahu ia menjadi lebih baik jika dibandingkan dengan musim lepas."

Mengulas lanjut, pelumba berpengalaman negara dan pernah beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 itu menjelaskan pengurusan tayar adalah penting dalam perlumbaan.

"Di atas litar, cabarannya adalah untuk menguruskan tayar. Ia pada saya adalah kunci untuk berada di podium. Saya berharap yang Mandalika akan memberikan sesuatu yang istimewa kepada saya.

"Saya tahu perjalanannya masih panjang dan dengan beberapa masalah, ia merencatkan semangat saya kerana sama ada anda suka atau tidak, ada ramai pelumba yang laju musim ini dan untuk mengharunginya memerlukan strategi dan mengambil peluang pada masa yang tepat.

"Saya hanya mengekalkan fokus saya terhadap apa yang penting dan menggunakan pengalaman yang saya miliki untuk meraih kelebihan. Sasarannya adalah kekal berada di podium dan saya akan bekerja keras untuk mendapatkannya."