AZLAN Shah Tak Jadi Gantung Sut Lumba

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/22/20251 min read

AZLAN Shah Kamaruzaman mengesahkan dia akan terus berlumba secara kompetitif pada tahun ini termasuk di peringkat antarabangsa, sekali gus menangguhkan hasratnya untuk menggantung sut lumbanya.

Pelumba berusia 41 tahun itu yang boleh dianggap antara pelumba paling berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa mengumumkan akan bersara sejurus kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim lalu berakhir.

Kata bekas juara Asia tiga kali itu, keputusan dibuat selepas membuat banyak pertimbangan termasuk sokongan padu daripada peminat serta individu yang sentiasa berada di belakang kariernya.

Azlan berkata, perancangannya adalah untuk terus berlumba di ARRC, EWC (Kejuaraan Endurance Dunia - Suzuka 8 Hours), MSBK (Kejuaraan Superbike Malaysia), MSF (Festival Speed Malaysia) termasuk perlumbaan kereta.

“Ramai yang mahu saya terus berlumba, jadi saya mengambil keputusan untuk meneruskan cabaran tahun ini. Saya juga percaya masih mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat tertinggi,” kata Azlan.

Menurut Azlan, dia berdepan beberapa masalah pada musim lalu yang mengakibatkan motivasinya menurun.

"Pada tahun ini ia berbeza termasuk motivasi. Cuma persiapan itu perlu digandakan berikutan faktor usia. Tetapi dengan persediaan rapi, saya percaya saya boleh melakukannya."

Azlan dalam pada itu menjelaskan jentera pilihannya pada tahun ini untuk beraksi di pentas ARRC kekal BMW tetapi bersama pasukan berbeza berbanding pada musim lalu namun ia masih pasukan tempatan dan mendapat sokongan daripada BMW Motorrad di Jerman.

Azlan yang baru-baru ini menerima anugerah Ikon Sukan Permotoran Malaysia pada tahun ini akan turut bergelar Prinsipal pasukan yang beraksi di pentas kejuaraan Cub Prix dan ARRC iaitu bersama Voge AS25 Academy Racing Team.