AZLAN Shah Umum Gantung Sut Lumba

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/19/20242 min read

AZLAN Shah Kamaruzaman, pelumba yang boleh dilabel antara terbaik pernah dimiliki Malaysia dalam arena perlumbaan dua roda akhirnya mengumumkan persaraannya.

Pengumuman itu dibuat pelumba kelahiran Klang, Selangor itu menerusi laman media sosialnya dengan nada penuh emosi.

Berikut adalah kenyataan yang dibuat pelumba berusia 39 tahun itu.

"Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua peminat yang saya hormati,

Dengan rasa penuh syukur dan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa saya telah membuat keputusan untuk bersara daripada sukan dua roda yang telah menjadi sebahagian besar daripada hidup saya.

"Perjalanan ini penuh dengan cabaran, kegembiraan, dan pelbagai pengalaman yang sukar dilupakan, namun tibalah masanya untuk saya melangkah ke fasa baru dalam hidup saya.

"Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia adalah keputusan yang saya ambil dengan penuh pertimbangan.

"Sepanjang karier saya, sokongan anda semua menjadi pendorong yang tidak ternilai, dan saya tidak dapat mengucapkan terima kasih yang secukupnya atas semangat dan kepercayaan yang diberikan.

"Setiap sorakan, setiap kata-kata semangat, dan kehadiran anda di litar perlumbaan memberi saya kekuatan untuk terus berlumba dan berjuang di atas trek.

"Saya akan sentiasa menghargai memori ini dan membawa semangat anda bersama saya, walaupun saya tidak lagi akan berada di atas dua roda.

"Walaupun saya meninggalkan dunia perlumbaan ini, cinta saya terhadap sukan ini dan sokongan kepada anda semua tidak akan pernah berkurangan. Terima kasih kerana sentiasa bersama saya dalam setiap kejayaan dan kegagalan.

"Saya berharap dapat terus berhubung dengan anda semua, dan mungkin suatu hari nanti kita akan berjumpa lagi di litar, walaupun bukan sebagai pelumba. Terima kasih dari lubuk hati saya yang paling dalam," tulis Azlan.

Memulakan kariernya panjangnya di arena sukan permotoran dua roda di Cub Prix dan bergelar juara kelas elit CP130 pada 2012, Azlan kemudian melakar kejayaan lebih gemilang pada tahun berikutnya apabila bergelar juara Asia buat pertama kali dengan menjuarai kelas SS600.

Pada tahun sama, Azlan yang beraksi bersama Boon Siew Honda Racing turut memulakan langkah untuk beraksi di pentas dunia apabila diberi pelepasan untuk berlumba bersama pasukan Honda Team Asia dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia.

Selepas enam pusingan diharungi pada 2013, Azlan kemudian bergelar pelumba sepenuh masa di Moto2 pada tahun 2014 dan 2015 bersama pasukan Honda Team Asia dengan pencapaian terbaiknya dalam di Grand Prix Jepun pada 2015 apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Kembali ke pentas ARRC selepas kempennya di Moto2, Azlan merangkul gelaran Asia keduanya pada musim 2017 bersama pasukan Kawasaki.

Dan bersama pasukan Kawasaki Green Team, Azlan pada tahun sama turut berjaya menduduki tempat kedua ketika perlumbaan enduran berprestij, Suzuka 8 Hours bersama rakan sepasukan Kazuma Watanabe dan Leon Haslam.

Azlan kemudian memenangi gelaran Asia ketiganya pada tahun 2019 pada musim pengenalan kelas baharu dan tertinggi di kejuaraan itu ASB1000 bersama pasukan TKKR BMW Racing.

Dan sekalipun penampilannya pada musim ini dalam kelas ASB1000 berdepan keraguan susulan masalah kewangan pasukan, Azlan tetap berjaya memberi cabaran termasuk menaiki podium di tempat kedua pada aksi Pusingan 5 di laman sendiri, Litar Antarabangsa Sepang Petronas minggu lalu.