AZLAN Shah Umum Persaraan

Di usia 42 tahun, Azlan Shah menyatakan keputusan berundur daripada saingan kompetitif dibuat selepas menilai perjalanan panjang kariernya yang penuh suka dan duka, sejak mula beraksi di pentas domestik hingga ke antarabangsa

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/16/20261 min read

ARENA sukan permotoran negara dikejutkan dengan pengumuman persaraan salah seorang pelumba yang boleh dianggap legenda, Azlan Shah Kamaruzaman, hari ini.

Di usia 42 tahun dan selepas 23 tahun bergelumangan dengan sukan permotoran, Azlan menyatakan keputusan berundur daripada saingan kompetitif dibuat selepas menilai perjalanan panjang kariernya yang penuh suka dan duka, sejak mula beraksi di pentas domestik hingga ke antarabangsa.

"Selepas lebih daripada 23 tahun berlumba dan mengejar catatan masa terpantas, saya membuat keputusan untuk menarik diri daripada berlumba secara aktif," kata Azlan dalam laman sosial rasminya.

"Sukan permotoran membentuk kehidupan saya. Ia mengajar saya disiplin, ketabahan, pengorbanan dan rasa rendah diri. Sejak hari terawal saya dalam perlumbaan di Malaysia dan bersaing di pentas Asia dan lebih daripada itu, setiap pusingan, setiap cabaran membantu saya menjadi individu seperti saya sekarang."

Bekas juara Asia dua kali itu turut merakamkan penghargaan mendalam kepada keluarga, pasukan, kru, penaja serta para peminat yang sentiasa menyokong sepanjang kariernya.

Dan sekalipun menutup lembaran sebagai pelumba, Azlan menegaskan perjalanannya dalam dunia permotoran belum berakhir dan mahu memberi tumpuan kepada usaha membimbing generasi baharu dan membantu pembangunan bakat masa depan, sama ada di dalam mahupun di luar litar.

"Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan bab baharu untuk saya memberi kembali kepada sukan ini. Saya mahu menyokong pelumba muda dan membantu membangunkan bakat masa depan. Terima kasih kepada memori, dan saya tidak sabar untuk menghadapi apa yang ada di masa depan. Jumpa lagi pada babak seterusnya."

Sepanjang karier, Azlan dikenali sebagai antara pelumba paling konsisten negara, dengan pencapaian di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) serta penyertaan dalam saingan antarabangsa yang mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

Sebagai rekod, Azlan yang pernah mengumumkan persaraan pada penghujung musim 2024 sebelum membuat 'pusingan U' ketika ini turut bergelar Prinsipal pasukan di VOGE Racing Team yang beraksi di pentas Cub Prix dan ARRC serta memiliki akademi dikenali AS25 Academy.