AZLAN Shah Yakin Voge FR150 Mampu Naik Podium CP150 Cub Prix Musim Ini

Berbekalkan pengalaman luasnya di pentas antarabangsa, Azlan Shah bertekad untuk mencurahkan segala ilmu yang dimilikinya selain merangka program latihan yang lebih tersusun buat barisan pelumba Voge Racing Team musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/3/20262 min read

BEKAS pelumba Moto2 negara dan juara Asia yang kini bergelar Prinsipal Voge Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman optimis jentera Voge FR150 mampu melakar kejutan dengan menaiki podium pada saingan kelas perdana CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini.

Keyakinan itu disuarakan Azlan susulan perubahan peraturan baharu yang diperkenalkan pada musim ini, di samping peningkatan prestasi jentera serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh pasukannya.

Bercakap mengenai keupayaan Voge FR150, jentera yang digunakan dan baru diperkenalkan di kejuaraan itu tahun lalu, Azlan menyifatkan ia memiliki keistimewaan dan karakter tersendiri yang mampu memberi saingan sengit di litar.

"Motosikal ini unik. Ia ada persamaan dengan jenama-jenama (pesaing) di luar sana, ia ada 'rasa' itu daripada sudut enjin dan pengendalian. Menariknya, ia bukan menyerupai satu, tetapi dua jenama, jadi ia sangat unik.

"Enjinnya berkeupayaan mencapai rpm yang tinggi, manakala pengendaliannya sangat mudah dikawal selain mempunyai cengkaman yang baik," katanya ketika sesi 'live' pasukan itu, baru-baru ini.

Mengimbas kembali kempen musim lalu, Azlan mengakui ia adalah fasa pembelajaran memandangkan pasukan itu baru 'setahun jagung' bersaing di kelas paling elit dalam kejuaraan berkenaan.

"Tahun lepas, saya perhatikan selama setahun. Kita adalah pasukan baharu nak capai tahap pasukan gergasi memang susah. Tetapi, semangat dan daya saing yang ditunjukkan oleh pasukan, termasuk barisan mekanik, membuktikan kita sentiasa mahu bertambah baik.

"Sekalipun bermula dari belakang, kita terus berusaha. Hasilnya, kita bukan sekadar pelengkap jadual di kedudukan belakang, malah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 teratas pada tahun pertama di kategori paling tinggi (CP150). Banyak masalah berjaya kita perbaiki," katanya.

Azlan berkata, peluang Voge Racing Team untuk menyerlah pada musim ini dilihat lebih seimbang susulan pengenalan peraturan enjin 'kembali ke asas' oleh pihak penganjur.

"Tahun lepas adalah tahun belajar, tetapi tahun ini kami sudah ada data yang boleh digunakan untuk penambahbaikan. Peraturan tahun ini juga berbeza; jika tahun lepas enjin lebih berkuasa mengikut spesifikasi yang sudah lama diguna pakai pasukan lama, tahun ini kuasa enjin dikurangkan dengan penggunaan enjin standard.

"Jadi, semua pengeluar kini bermula dari sifar dan masih mencari ramuan terbaik. Situasi ini menjadikannya lebih adil. Jadi bagi saya ini adalah tahun untuk kami menyerlah pula, kami berazam nak naik podium dan akan usahakan sehabis baik," katanya.

Bagi merealisasikan impian itu, Azlan yang sudah secara rasmi mengumumkan persaraan daripada pentas perlumbaan kompetitif tahun ini bagi memberi tumpuan sepenuh masa kepada pasukan sejak dari awal musim.

Dan berbekalkan pengalaman luasnya di pentas antarabangsa, Azlan bertekad untuk mencurahkan segala ilmu yang dimilikinya selain merangka program latihan yang lebih tersusun buat barisan pelumbanya musim ini.