AZROY Dapat 'Wildcard' Lagi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/11/20241 min read

AZROY Hakeem Anuar sekali lagi disenaraikan pasukan PETRONAS MIE Racing Honda secara 'wildcard' bagi menghadapi Pusingan 11 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas WorldSSP di Estoril, Portugal minggu ini.

Perkembangan itu menyaksikan pelumba negara itu menyertai dua pelumba sepenuh masa pasukan itu, Khairul Idham Pawi dan pelumba Jepun, Kaito Toba dari Jepun memacu jentera Honda CBR600RR.

Dan ia adalah penampilan kedua karier buat Azroy di pentas perlumbaan berprestij itu selepas turut diberikan peluang beraksi pada pusingan di Aragon, Sepanyol penghujung bulan lalu.

Azroy berterima kasih kepada pasukannya atas peluang yang diberikan kepadanya di Estoril.

"Banyak yang saya belajar daripada perlumbaan di Aragon yang juga pengalaman pertama saya di kejuaraan ini," kata pelumba kelahiran Selangor itu.

"Jadi sasaran saya adalah untuk meneruskan apa yang kami sedang usahakan ketika di Sepanyol dan melihat sama ada kami boleh membuat penambahbaikkan sepanjang minggi ini.

"Ini adalah kehadiran pertama saya di Estoril, jadi saya berharap untuk dapat mengadaptasi litar ini dengan cepat."

Dalam pada itu, Khairul Idham yang lebih dikenalik Super KIP berharap penampilannya di Estoril mampu menghasilkan keputusan yang baik termasuk menamatkan perlumbaan dalam kumpulan pungutan mata.

"Selepas beberapa pusingan yang mencabar, kami akan cuba untuk mendapatkan keputusan yang bagus," katanya. "Ini adalah penampilan pertama saya di Estoril jadi ia tidak akan mudah tetapi saya berharap dapat mempelajarinya dengan cepat.

"Saya akan bekerja sekeras mungkin untuk mendapatkan keputusan yang bagus, dan mensasarkan kedudukan dalam pungutan mata jika mampu. Ayuh lihat apa yang kami boleh lakukan."

Selepas Estoril, kempen WSBK 2024 akan menutup tirainya di Jerez, Sepanyol pada minggu depan