PELUMBA Idemitsu Boon Siew Honda Racing, Azroy Hakeem Anuar memastikan kedua-dua gelaran juara dalam kelas SS600 di Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 kekal menjadi milik Malaysia.
Selepas rakan sepasukannya, Helmi menjuarai Perlumbaan 1 semalam, Azroy tampil cemerlang dengan menjuarai Perlumbaan 2 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas, hari ini.
Begitupun, sedikit mengecewakan, harapan untuk melihat pelumba negara mengisi pentas podium dalam kelas elit ASB1000 tidak kesampaian.
Ia berikutan kemenangan berganda yang diraih pelumba Jepun, Yuki Kunii daripada pasukan SDG Team HARC Pro Honda ph. yang sekali lagi muncul pemenang pada Perlumbaan 2.
Begitupun, Malaysia tidak kempunan untuk berada di podium apabila pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga - keputusan yang menyaksikannya mengotakan janjinya untuk menaiki pentas itu laman sendiri sebelum ini.
Tempat kedua menjadi milik pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) manakala seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (TKKR BMW Racing) menamatkan perlumbaan di tempat ke-4.
Azroy dalam pada itu mengakui kemenangan yang diraihnya pada hari ini cukup sukar terutama cabaran yang datang daripada pelumba Indonesia, Adenanta.
"Alhamdulillah syukur atas kemenangan ini," kata Azroy. "Sebenarnya saya masih lagi bergelut pada hari ini tetapi perancangan saya adalah untuk berada di depan seawal yang mungkin.
"Apabila saya dipintas Adenanta (Putra), saya tahu peluang saya masih ada terutama pada pusingan terakhir dan perlu memintasnya kembali dengan cepat dan saya berjaya melakukannya di selekoh terakhir.
"Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras kerana dapat menyiapkan jentera yang terbaik. Dan saya berharap boleh membawa momentum ini ke Buriram Thailand bagi pusingan terakhir," katanya.
Sementara itu, dua lagi kedudukan podium SS600 berjaya diraih pelumba Indonesia menerusi Mohammad Adenanta Putra (ke-2) dan Veda Ega Pratama daripada pasukan Astra Honda Racing.
Helmi dalam pada itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8.
Dalam pada itu, lagu Negaraku turut berkumandang di Sepang dalam kelas 'Kapcai' UB150 selepas pelumba veteran, Ahmad Fazrul Shah (Cardinals Factory Racing ARRC) merangkul kemenangan.
Lebih menarik, Fazrul tidak berseorangan di pentas podium apabila seorang lagi pelumba negara, Nazirul Izzat Md Bahauddin (UMA Racing Yamaha Maju Motor) menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Pelumba Indonesia, Adytya Fauzi (Racetech Sixty) di tempat kedua.
Sebagai rekod, tiada pelumba negara mengisi pentas podium dalam kelas TVS Asia dan AP250 di Perlumbaan 2.