MALAYSIA akan mempunyai seorang lagi pelumba beraksi di Pusingan 10 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Aragon, Sepanyol menerusi pengesahan tiket 'wildcard' WorldSSP yang diperoleh Azroy Hakeem Anuar.
Perkembangan menarik itu diumumkan pasukan PETRONAS MIE Racing Honda dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada musim ini, Azroy berlumba secara sepenuh masa di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix (Cub Prix) 2024.
Dan ini adalah penampilan sulung Azroy di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).
Pada minggu lalu, pelumba berusia 24 tahun itu berjaya meraih kemenangan dalam kelas SS600 di Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
Seperti diketahui, Azroy memang tidak asing dengan pasukan MIE Racing yang berpangkalan di Jepun.
Sebelum ini, pelumba kelahiran Selangor itu pernah beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 secara 'wildcard' di Grand Prix Malaysia tahun 2022 dan 2023 dengan pasukan yang sama.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan Boon Siew Honda, PETRONAS MIE Racing Honda dan semua orang yang membuatkan penampilan saya secara 'wildcard' ini berlaku," kata Azroy.
"Ini adalah peluang yang besar untuk saya dan sudah tentu saya akan melakukan yang terbaik untuk mempamerkan kebolehan saya untuk perlumbaan WorldSSP pada pusingan di Motorland Aragon."
Di Sepanyol, Azroy akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba berbakat negara, Khairul Idham Pawi dan pelumba Jepun, Kaito Toba.
Dan jentera yang digunakan adalah sama seperti ditunggang di pentas ARRC iaitu Honda CBR600RR.
Penampilan di Sepanyol turut menyaksikan Azroy bakal terlepas aksi di Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024 yang dijadual berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan minggu ini.