AZROY Hakeem Harap Tuah Di Buriram
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/5/20241 min read


PELUMBA negara, Azroy Hakeem Anuar berharap tuah penampilan kedua di Buriram, Thailand bagi Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 dapat memberikannya keputusan lebih mengujakan pada minggu ini.
Beraksi dalam kelas SS600, Azroy yang berlumba bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing ketika ini menghuni tangga ketiga kejuaraan kelas berkenaan yang ketika ini sedang dipimpin pelumba tuan rumah, Apiwath Wongthananon.
Sekalipun secara matematik masih berpeluang dengan 50 mata masih boleh diburu, Azroy ketika ini ketinggalan 33 mata berbanding Wongthananon dari pasukan Yamaha Tekhne Racing Team Asean dan 19 mata di belakang pelumba tempat kedua dari Indonesia, Md Adenanta Putra (Astra Honda Racing).
Seperti diketahui, Azroy berdepan malang apabila menamatkan kedua-dua perlumbaan di Buriram pada Mac lalu tanpa sebarang pungutan mata termasuk berdepan kemalangan ngeri pada Perlumbaan 1.
"Saya mengharungi kempen turun dan naik pada tahun ini di mana saya bermula dengan teruk dan selepas itu semakin baik. Jadi saya datang ke sini dengan perasaan yang bercampur baur.
"Tidak semua perkara berjalan dengan baik tetapi saya berhadap tuah berada bersama saya pada kali ini," kata Azroy yang mengakui Buriram sebagai antara lihat yang cukup mencabar baginya terutama di sektor kedua.
Dengan rakan sepasuannya, Md Helmi Azman berada di tangga keempat dengan mengumpul 113 mata, Azroy berkata pasukannya tidak memberikan sebarang arahan namun ia turut bergantung kepada keputusan Perlumbaan 1 pada Sabtu.
"Setakat ini tiada arahan pasukan atau perkara seperti itu. Saya hanya mahu melakukan yang terbaik dan lihat bagaimana keputusan Perlumbaan 1 terlebih dulu dan kemudian lihat semula apa yang boleh dilakukan.
"Ini adalah pusingan terakhir dan kami turut bersaing merebut kejuaraan, jadi saya akan cuba memberikan yang terbaik."
