AZROY Hakeem Takluk Perlumbaan 1 ASB1000 Di Sepang!

Pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia mencipta bangga apabila menjuarai Perlumbaan 1 kategori elit ASB1000 Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/31/20251 min read

PELUMBA pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar menampilkan persembahan cemerlang apabila menjuarai Perlumbaan 1 ASB1000 pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hari ini.

Lebih membanggakan, ketiga-tiga kedudukan podium kelas elit itu dikuasai pelumba negara apabila Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan JDT Racing Team menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Md Zaqhwan Zaidi yang rakan sepasukan Azroy dan turut bersaing di pentas WorldSBK pada musim ini melengkapkan kedudukan tiga terbaik.

Memulakan perlumbaan di petak ketiga, Azroy yang juga 'rookie' kelas ASB1000 tampak tidak kekok untuk bersaing malah berjaya mendahului perlumbaan sejak pusingan pertama.

Dan sekali pun dicabar sengit beberapa pelumba termasuk Hafizh Syahrin Abdullah daripada JDT Racing Team, 'bantuan' daripada Zaqhwan berjaya membuatkannya selesa mendahului dan melepasi garisan penamat lebih dua saat berbanding pemenang tempat kedua.

“Pasukan melakukan kerja yang sangat baik dan kami mendapat pelarasan jentera yang cemerlang,” kata Azroy.

“Saya juga bertuah dapat rakan sepasukan yang bagus seperti Zaqhwan. Kemenangan ini tidak mungkin diperoleh tanpa persaingan sengit antara beliau dan Hafizh yang membolehkan saya kekal di hadapan.

"Saya gembira dengan kepantasan yang ditunjukkan, namun sedikit kecewa kerana tidak berjaya mencatat masa di bawah 2 minit 6 saat. Kami akan terus mencuba esok untuk Perlumbaan 2,” katanya.

Dalam kategori SS600, pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin terlepas peluang merangkul kejuaraan selepas dipintas di selekoh terakhir sekali gus terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.

Perlumbaan dimenangi pelumba Indonesia, Md Adenanta Putra dari pasukan Astra Honda Racing, manakala tempat ketiga menjadi milik Anupab Sarmoon dari Honda Racing Thailand.

Kasma yang mewakili pasukan Hong Leong Yamaha Racing pada awalnya mendahului perlumbaan selepas rakan senegaranya, Helmi Azman (Idemitsu Honda Racing Malaysia) dikenakan penalti 'long lap', namun gagal mempertahankan kedudukan itu sehingga ke garisan penamat.

“Tiada rezeki hari ini. Ada satu lagi (Perlumbaan 2). Saya akan cuba dapatkan kemenangan esok, Insya-Allah,” kata Kasma.

Sementara itu, sekali pun tidak memenangi perlumbaan dalam kelas AP250 dan UB150, Malaysia masih mempunyai wakil di podium menerusi Md Izham Ikmal (AP250) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala Akid Aziz turut mengisi kedudukan sama dalam kelas UB150.