AZROY, Helmi Pastikan Lagu Negaraku Bergema Di Sepang!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/1/20252 min read


DUA sahabat, Azroy Hakeem Anuar dan Md Helmi Azman memastikan lagu Negaraku dinyanyikan di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS dengan menjuarai Perlumbaan 2 ASB1000 dan SS600 pada Perlumbaan 2 Pusingan Kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hari ini.
Beraksi bersama pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy mengesahkan kelas elit ASB1000 menjadi milik Malaysia manakala Helmi bangkit menjuarai perlumbaan SS600 sekali gus menebus kekecewaannya pada Perlumbaan 1, semalam.
Tiba sebagai pelumba 'rookie' dalam kategori ASB1000, Azroy menyifatkan kemenangan di Sepang sebagai sesuatu yang amat bermakna dan tidak akan mampu dicapai tanpa kerja keras keseluruhan pasukan.
“Ini kali pertama saya meraih podium dan kemenangan berganda, jadi saya amat gembira," kata Azroy. “Ketika perlumbaan, saya cuba mengekalkan kelajuan seperti semalam, tetapi cuaca hari ini jauh lebih panas, jadi saya perlu menguruskan tayar dengan sebaik mungkin.
“Saya kehilangan lima atau enam posisi di awal perlumbaan, namun saya bangkit semula. Selepas berjaya mendahului, saya cuba meningkatkan kelajuan tetapi mungkin disebabkan tayar, saya hanya mampu kekal dengan rentak itu.
“Hafizh (Syahrin Abdullah) berada di belakang saya, kadangkala rapat, kadangkala jauh dan ketika itu saya tahu kelajuan saya berada pada tahap yang baik.
"Jadi saya hanya cuba mengawal perlumbaan dan berharap dapat mengulangi pencapaian ini di pusingan akan datang.”
Mengiringi Azroy di podium ialah Hafizh dari pasukan JDT Racing Team yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala pelumba Jepun, Keito Abe, melengkapkan kedudukan tiga teratas.
Sementara itu, Helmi menyifatkan kemenangan dalam kelas SS600 hari ini hadir tepat selepas dia dikenakan penalti ‘long lap’ dalam Perlumbaan 1 semalam yang menyaksikannya terlepas kedudukan podium sekali pun pada satu ketika sedang mendahului.
“Saya memberikan segalanya, 100 peratus. Syukur, ini adalah rezeki saya. Kemenangan ini saya tujukan kepada pasukan, penaja, keluarga, rakan-rakan dan penyokong yang tidak putus memberi sokongan.
“Kejayaan ini pastinya menjadi pembakar semangat untuk menghadapi pusingan berikutnya,” kata Helmi.
Turut berada di podium adalah rakan sepasukannya, Khairul Idham Pawi yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan melengkapkan kedudukan podium adalah pelumbaa Thailand, Anupab Sarmoon.
Malaysia berpeluang untuk mendominasi keseluruhan podium SS600 tetapi ia tidak kesampaian apabila pelumba Hong Leong Yamaha Motor, Kasma Daniel Kasmayuddin, terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir ketika sedang berada di posisi ketiga.
Dalam pada itu, kelas AP250 menyaksikan pelumba negara Md Izam Ikmal berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua tetapi sedikit mengecewakan, tiada pelumba negara berjaya menaiki podium dalam kategori UB150.
