AZROY, KIP, Afif Takluk Perlumbaan 1 Pusingan 2 MSBK 2025 Di Sepang
Azroy Hakeem Anuar, KIP, Afif masing-masing muncul juara dalam kelas masing-masing pada Perlumbaan 1 Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/5/20251 min read


PELUMBA Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar tampil cemerlang apabila menjuarai Perlumbaan 1 kelas elit MSBK1000 pada Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hari ini.
Lebih menarik, Azroy menunggu sehingga selekoh terakhir untuk memintas pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayuddin untuk meraih kemenangan keduanya daripada tiga perlumbaan yang sudah berlangsung.
Memulakan perlumbaan di petak ketiga, Azroy tidak menunggu lama untuk meletakkan dirinya di tempat kedua dengan memintas rakan sepasukannya, Md Helmi Azman.
Sentiasa bersaing sengit dengan Kasma, Azroy kemudian berjaya memimpin perlumbaan pada pusingan ke-6 tetapi kedudukan itu berjaya dirampas semula pelumba Yamaha itu yang menyaksikan persaingan menarik.
Selepas kedudukan pendahulu kembali diambil Kasma, Azroy kembali merampas kedudukan itu pada pusingan terakhir. Dan sekali pun gerakan Kasma di selekoh terakhir tampak mampu memberinya kemenangan, Azroy terlebih dulu melintas di garisan penamat.
Menariknya, Azroy hanya dipisahkan 0.019 saat (s) dengan Kasma dan 0.375s membezakannya dengan Helmi.
Sementara itu, Khairul Idham Pawi menjuarai Perlumbaan 1 kelas MSBK600 dengan penuh dominan.
Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukannya, Md Irfan Haykal Amidi manakala pelumba Vietnam, Cao Viet Nam dari Honda Vietnam Racing melengkapkan kedudukan podium.
Dalam pada itu, pelumba pasukan Superfast JRT X Rapido, Ahmad Afif Amran menjuarai Perlumbaan 1 MSBK250.
Rakan sepasukannya, Md Akid Aziz turut menamatkan perlumbaan di podium di tempat ketiga dengan pelumba Indonesia, Irfan Ardiansyah dari pasukan Maeztro Twin SCK Honda Racing di tempat kedua.
