AZROY Lega Dapat Tempat Ketiga Perlumbaan 2 SS600 Di Motegi, Honda CBR600RR Bergelut Sejak Hari Pembukaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/10/20241 min read

TIADA kejayaan sama - bergelar juara - dapat diulang pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar pada aksi Pusingan 3 kelas SS600 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Motegi, minggu lalu tetapi kempen di negara Matahari Terbit itu masih dianggap memuaskan.

Selepas berdepan kempen penuh bencana pada aksi pembuka tirai ARRC 2024 di Thailand, Azroy dari pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing bangkit untuk memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 2 di Zhuhai, China.

Begitupun, tiada Perlumbaan 2 dilangsungkan di Zhuhai yang terpaksa dibatalkan susulan situasi cuaca buruk di kawasan berkenaan.

Tiba di Jepun dengan semangat tinggi, tetapi tiada kedudukan podium berjaya dijelmakan Azroy pada Perlumbaan 1 yang menyaksikannya melepasi garisan penamat di kedudukan ke-5.

Namun kebangkitan berjaya ditunjukkan pada Perlumbaan 2 selepas pelumba kelahiran Selangor itu berjaya menamatkan aksi di kedudukan ke-3.

Mengulas prestasinya di Jepun, Azroy mendedahkan pasukannya berdepan kesukaran sejak hari pertama dan ia berlarutan sehingga Perlumbaan 1 pada Sabtu.

"Kami bergelut sejak hari Jumaat. Dan ia berlarutan pada hari Sabtu," kata Azroy. "Berikutan jentera saya kekurangan berat, apabila kami menambahkan berat, kami berdepan kesukaran dan sulit untuk mendapatkan kelajuan.

"Pada Perlumbaan 2, kami dapat mencari jalan untuk memperbaiki apa yang berlaku semalam (Sabtu). Ketika perlumbaan, saya cuba mengikuti Kengo (Nagao) tetapi tak berjaya kerana dia amat pantas.

"Selepas 3 ke 4 pusingan, saya mula mendapat kelajuan namun saya terpaksa bersaing hebat dengan Helmi yang menyebabkan Kengo bertambah jauh. Saya cuba untuk menjarakkan diri daripada pelumba di tempat ketiga namun akhirnya tak berjaya.

"Apapun, saya gembira dengan tempat ketiga ini dan kami akan cuba memberikan cabaran lebih sengit pada pusingan berikutnya," katanya.

Selesai Pusingan 3, kedudukan teratas carta kejuaraan kelas SS600 kekal menjadi milik Apiwath Wongthananon yang memenangi Perlumbaan 1 selepas pelumba 'otai' Thailand itu mengumpul 115 mata.

Tempat kedua diisi pelumba Indonesia, Md Adenanta Putra (Astra Honda Racing) dengan 78 mata diikuti rakan sepasukan Azroy, Md Helmi Azman ketiga dengan 60 mata.

Azroy dalam pada itu menduduki tangga ke-4 selepas mengumpul keseluruhan 48 mata.