AZROY 'Mengganas' Hari Pertama ARRC 2025 Di Sepang!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/30/20251 min read

PELUMBA pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila mengungguli hari pertama Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hari ini.

Selepas menguasai Sesi Latihan 1 kelas elit ASB1000 itu pada sebelah pagi, pelumba negara itu meneruskan dominasi dalam dua sesi latihan petang sekali gus mencatatkan masa terpantas keseluruhan 2 minit (m) 5.974 saat (s).

Turut menampilkan persembahan baik adalah pelumba WorldSBK negara, Zaqhwan Zaidi yang juga rakan sepasukan Azroy apabila dia mencatatkan masa kedua terpantas 2m 06.720s.

Pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat dari Honda Racing Thailand mencatatkan masa ketiga terpantas (2m 07.144s).

"Perasaan saya cukup baik pada kesemua sesi latihan hari ini. Masih ada beberapa aspek kecil yang saya fikir boleh diperbaiki, tetapi secara keseluruhan saya gembira dengan kemajuan yang dicapai.

"Pasukan dan saya akan terus berusaha untuk mengekalkan momentum ini pada sesi esok,” kata Azroy.

Dalam pada itu, bekas pelumba WorldSBK negara, Adam Norrodin yang beraksi secara 'wildcard' bersama pasukan AMI Suzuki Motorsports turut menampilkan prestasi memberangsangkan apabila menamatkan sesi dengan catatan keempat terpantas.

Seorang lagi pelumba, Azlan Shah Kamaruzaman turut menampilkan prestasi baik apabila mencatatkan masa keenam terpantas dengan pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah melakukan catatan ketujuh terpantas.

Selain kelas ASB1000, kelas SS600 turut didominasi pelumba negara diketuai pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia, Md Helmi Azman.

Mencatatkan masa kedua terpantas keseluruhan kelas sama adalah pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Racing, Kasma Daniel Kasmayudin diikuti rakan sepasukan Helmi, Khairul Idham Pawi.

"Sasaran sentiasa untuk mengekalkan momentum saya di atas, tetapi saya agak bergelut pada sesi pertama dan kedua. Selepas melakukan beberapa perubahan pelarasan, dan dengan pengalaman yang baik di litar ini, saya meletakkan fokus terhadap keselesaan pada kelajuan tinggi.

"Akhirnya, ia berjalan lancar dan saya berharap dapat meneruskannya pada keseluruhan minggu ini" kata Helmi.

Dalam pada itu, pelumba negara turut mencatatkan masa terpantas dalam kategori UB150 menerusi Ahmad Afif Amran yang beraksi bersama pasukan Pitsbike Superfast JRT Racing .