B2H 2026 Gegar SIC sempena Hari Kebangsaan, Janjikan Saingan Lebih Mengujakan!

Bagi membuktikan penganjuran B2H kali ini berada pada kelas tersendiri, BRAAAP Motorsports selaku penganjur mengambil langkah berani menaik taraf format perlumbaan dengan menggunakan susun atur litar penuh SIC, berbanding hanya separuh litar pada edisi 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/4/20262 min read

PERLUMBAAN motosikal dengan format 'enduran' atau ketahanan terkemuka negara, BRAAAP 2 Hours (B2H) Endurance kembali mewarnai kalendar sukan pemotoran tempatan bagi edisi 2026 yang dijadual berlangsung sempena Hari Kebangsaan.

Selain berlangsung pada tarikh keramat 31 Ogos depan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), edisi tahun ini turut dijanjikan menyajikan saingan yang lebih berprestij, mencabar dan meriah.

Sebagai permulaan, B2H 2026 sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi perlumbaan ketahanan Superbike dua jam dan Supersport 'time attack' pertama membabitkan jentera berkuasa tinggi yang dianjurkan di Malaysia, serta mendapat pengiktirafan Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM).

Dan bagi membuktikan penganjuran kali ini berada pada kelas tersendiri, BRAAAP Motorsports selaku penganjur mengambil langkah berani menaik taraf format perlumbaan dengan menggunakan susun atur litar penuh SIC, berbanding hanya separuh litar pada edisi 2025.

Malah, tapak operasi pasukan dan fasiliti perlumbaan juga dipindahkan ke Paddock Utama SIC bagi menyuntik aura kejohanan bertaraf antarabangsa, di samping menjamin keselesaan maksimum buat pelumba, kru serta penonton.

Seperti edisi tahun lalu, perlumbaan juga akan dimulakan dengan gaya ikonik ala perlumbaan 24 Jam Le Mans, yang menuntut pelumba berlari merentasi trek ke arah jentera masing-masing sebelum mula menunggang.

Apa yang pasti, prestij perlumbaan berkonsep unik ini terbukti apabila ia bukan sahaja membariskan pasukan tempatan, malah ia turut dijangka mendapat pengesahan penyertaan pelumba dari luar negara yang teruja menawan litar berstatus Gred 1 FIA itu.

Sebagai syarat wajib penganjuran yang kompetitif dan selamat, setiap pelumba perlu memiliki lesen perlumbaan yang sah dikeluarkan oleh MAM untuk rakyat Malaysia, ataupun dikeluarkan oleh FMN (Persatuan Sukan Permotoran) dari negara masing-masing untuk pelumba luar negara.

Penganjuran edisi 2026 turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta sokongan teknikal daripada jenama tayar antarabangsa, Bridgestone.

Pengerusi BRAAAP Motorsports, Azuan Izadee berkata, pihaknya komited menjadikan acara itu sebagai penanda aras baharu dalam kalendar sukan pemotoran dua roda tempatan biarpun berdepan beberapa cabaran di peringkat global.

"Maklum balas yang diterima daripada komuniti pemotoran amat luar biasa. Berikutan sokongan padu itu, kami berani mengambil langkah membesarkan skala perlumbaan ke Paddock Utama dan menggunakan litar penuh tahun ini.

"Biarpun terdapat sedikit kekangan berikutan situasi geopolitik yang tidak menentu di Timur Tengah ketika ini, saya yakin cabaran ini dapat diatasi dan perlumbaan akan berjalan lancar.

"Selain aksi di litar, pelbagai acara sisipan termasuk jualan, pameran dan cabutan bertuah sedang dirangka untuk pengunjung. Banyak lagi kejutan akan kami umumkan kelak," katanya.

Bagi pasukan yang berminat untuk menyahut cabaran B2H 2026, penganjur kini menawarkan yuran pendaftaran promosi 'Flash Sale 50' dengan potongan harga istimewa sehingga 50 peratus untuk tempoh terhad (1 hingga 15 Mei 2026) dan 'Early Bird' (30 peratus) bermula 16 Mei hingga 15 Julai 2026.

Sementara itu, Azuan turut membawa khabar gembira buat peminat jentera moped atau 'kapcai' apabila penganjur kini dalam perancangan untuk mengadakan perlumbaan khusus bagi kategori berkenaan pada tarikh yang berbeza.